MKT putuskan tarikh pemilihan UMNO: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh pemilihan UMNO sama ada diadakan sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau sendiri tidak pasti bila pemilihan UMNO akan diadakan kerana tarikh PRU15 masih belum diketahui.

"Tapi saya ingin berkongsi satu maklumat dengan sidang hadirin sekalian. Pada 15 Disember 2020, seramai 111 ahli Parlimen meluluskan Bajet 2021 dan 108 menentang.

"Sehari selepas itu, ada makan tengah hari bersama ahli-ahli Parlimen yang meluluskan bajet dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Dalam majlis itu yang disaksikan oleh kira-kira 80 ahli Parlimen, saya bercakap buat pertama kali di hadapan rakyat mengenai perkara ini.

"Perdana Menteri menyebut pilihan raya (adalah pada) tahun hadapan (2021), dengan lain perkataan Perdana Menteri menyebut pilihan raya pada tahun 2021 iaitu tahun ini.

"Pemilihan UMNO juga pada tahun ini. Jadi kita boleh melaksanakan pemilihan itu selepas pilihan raya jika Perdana Menteri tidak berbohong tentang tarikh pilihan raya," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-245 bertajuk ‘Rasional Pemilihan UMNO Selepas PRU15' disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pemilihan UMNO boleh diaturkan selepas berlakunya pilihan raya seperti mana yang dijanjikan Perdana Menteri.

"Bila pilihan raya itu, mungkin bulan Jun, Julai, Ogos, September (atau) Oktober dan kita boleh mengadakan pemilihan UMNO pada bulan November (atau) Disember.

"Bagaimanapun ini bergantung kepada mesyuarat MKT UMNO," katanya.