X

Kindly register in order to view this article
!

Netanyahu dilantik lagi untuk bentuk kerajaan

Pemimpin parti politik di Israel menyertai perundingan bersama Rivlin di kediaman rasmi presiden untuk memilih calon yang akan ditugaskan untuk membentuk kerajaan baharu. - Foto: AFP
A
A

TEL AVIV - Presiden Israel pada Selasa sekali lagi menamakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk memikul tanggungjawab bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum pada 23 Mac lalu yang gagal menyaksikan mana-mana parti memperoleh majoriti 61 kerusi di Knesset (Parlimen).

Keputusan itu dibuat selepas Reuvin Rivlin mengadakan perundingan untuk meminta wakil parti menyenaraikan nama individu yang mereka rasa layak untuk diberikan tugas tersebut bagi menubuhkan kerajaan gabungan baharu dalam tempoh dua tahun.

Ketika proses itu, Netanyahu meraih 52 sokongan dan 30 daripadanya adalah daripada Parti Likud pimpinannya bersama sokongan dua parti ultra-ortodoks dan pakatan berhaluan kanan, Religious Zionism.

Pemimpin pembangkang, Yair Lapid pula menerima 45 sokongan manakala Naftali Bennett mendapat tujuh undi daripada Parti Yamina pimpinannya.

"Keputusan itu jelas menunjukkan sokongan masih berpihak kepada Netanyahu. Oleh itu, saya memberikan kepercayaan dan menyerahkan tugas ini kepada beliau," ujar Rivlin.

Menurutnya, keputusan memberikan mandat kepada Netanyahu bukan perkara yang mudah mengikut asas moral dan etika kerana reputasi buruk beliau yang berdepan tuduhan rasuah.

"Saya tahu ramai yang berpendapat peranan itu tidak sepatutnya diberikan kepada individu yang menghadapi tuduhan jenayah. Namun, berdasarkan undang-undang dan keputusan mahkamah, perdana menteri masih boleh menjalankan tugas mereka walaupun mempunyai kes di mahkamah," jelasnya.

Ketika perundingan itu berlangsung, Netanyahu bagaimanapun sedang menghadiri perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Daerah Baitulmaqdis.

Berdasarkan keterangan daripada saksi pertama, pemimpin paling lama berkhidmat itu didakwa menggunakan pengaruhnya untuk memastikan laman portal berita terkenal, Walla memberikan liputan yang positif tentang beliau dan memburuk-burukkan pesaingnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!