Media di Jordan dilarang dedah maklumat

Tangkap layar rakaman video berdurasi enam minit disiarkan BBC yang mendakwa Hamzah dikenakan tahanan rumah pada Sabtu lalu. - Foto: Agensi
Tangkap layar rakaman video berdurasi enam minit disiarkan BBC yang mendakwa Hamzah dikenakan tahanan rumah pada Sabtu lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

AMMAN - Jordan melarang media tempatan melaporkan tentang krisis membabitkan pemerintah, Raja Abdullah II dan adiknya, Putera Hamzah selepas bekas putera mahkota itu didakwa terlibat konspirasi untuk menggulingkan baginda.

Pendakwa raya di Amman pada Selasa menegaskan sebarang bentuk maklumat tentang siasatan terhadap plot melibatkan entiti asing tidak dinamakan itu dilarang diterbitkan.

"Ia adalah untuk menjaga kerahsiaan segala maklumat sensitif yang diperoleh perkhidmatan keselamatan. Larangan penerbitan itu termasuk kesemua media audiovisual dan rangkaian sosial serta rakaman video atau imej berkaitan yang memberi kesan kepada tindakan undang-undang," ujar Hassan al-Abdallat.

Keputusan tegas itu dibuat selepas Hamzah menggunakan media sebagai platform untuk mengeruhkan lagi krisis yang pertama kali melanda Amman menerusi rakaman mesej video yang diterbitkan BBC.

Pada Sabtu, Hamzah, 41, dengan lantang mengkritik pemerintah Jordan selepas beliau mendakwa dikenakan tahanan rumah selain seramai 16 individu berprofil tinggi ditahan selepas dikatakan cuba menggugat kestabilan dan keselamatan negara itu.

Bagaimanapun, pendirian beliau berubah sekelip mata apabila Hamzah menzahirkan taat setia kepada abangnya kira-kira dua hari selepas krisis itu menggemparkan rantau Arab. - AFP

Artikel Berkaitan: