Pendaftaran vaksin di Kedah meningkat tapi masih rendah

Dr Mohd Hayati (dua dari kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada sebuah NGO yang menyertai My iNsPark di Kedah selepas Majlis Pelancaran My iNsPark dan Menandatangani Memorandum SWCORP dengan tujuh NGO di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman pada Selasa.
Dr Mohd Hayati (dua dari kiri) menyerahkan sijil penyertaan kepada sebuah NGO yang menyertai My iNsPark di Kedah selepas Majlis Pelancaran My iNsPark dan Menandatangani Memorandum SWCORP dengan tujuh NGO di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Kedah dinasihatkan tidak bimbang dengan kesan suntikan vaksin Covid-19 dan diharap mereka terus mendaftar mendapatkan suntikan tersebut melalui beberapa kaedah yang telah diberikan oleh kerajaan.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebanyak 442,192 orang telah mendaftar berbanding 324,000 orang di negeri ini seperti dilaporkan pada 23 Mac lalu.

Menurutnya, angka pendaftaran tersebut dilihat masih rendah dan berharap lebih ramai yang akan tampil untuk berbuat demikian.

"Ada peningkatan jumlah dalam pendaftaran program imunisasi ini berbanding Mac lalu, namun angka itu masih lagi kurang memuaskan.

"Mereka yang telah menerima suntikan setakat ini adalah 50,033 orang iaitu 30,229 orang menerima dos pertama, manakala dos kedua seramai 19,804 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran My iNsPark dan Menandatangani Memorandum SWCORP dengan tujuh NGO di Dewan Jamuan Negeri Wisma Darul Aman dekat sini pada Selasa.

Dr Mohd Hayati berkata, beliau berharap orang ramai terus mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, talian hotline 1800 888 828 atau pada laman web www.vaksincovid.gov.my termasuk di pejabat daerah dan masjid yang dipilih bagi pendaftaran suntikan Covid-19.

Menurutnya, belum ada individu yang mengalami kesan ataupun alahan yang teruk selepas menerima vaksin tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap masyarakat tidak bimbang kerana sudah beratus ribu barisan hadapan negara sudah disuntik vaksin. Mereka tidak mengalami sebarang kesan yang teruk, jika ada yang lenguh-lenguh dan demam sedikit selepas divaksin itu adalah perkara biasa," katanya.

Pada 23 Mac lalu, media melaporkan pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 di Kedah masih rendah iaitu sekitar kira-kira 20 peratus atau 324,000 orang berbanding sasaran 1.76 juta penduduk yang dijangka menerima suntikan tersebut.