Dua saksi dipohon beri keterangan secara tertutup

Paul Yong (tengah) turut hadir pada prosiding hari kedua perbicaraan kes rogol yang dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
Paul Yong (tengah) turut hadir pada prosiding hari kedua perbicaraan kes rogol yang dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Pasukan pendakwaan bagi kes rogol bekas Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong mengemukakan permohonan kepada mahkamah agar dua saksi pendakwaan termasuk mangsa diberi kebenaran untuk keterangan mereka diambil secara tertutup (in-camera).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin berhujah kedua-dua mereka perlu didengar secara tertutup kerana berisiko dari segi keselamatan selain mereka juga merupakan peserta program perlindungan saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Menurutnya, kedua-dua saksi tersebut bersedia memberi keterangan secara tertutup (in-camera) tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguam.

"Mereka akan memberi keterangan dalam kes ini tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguam di dalam mahkamah namun pihak pembelaan masih boleh mendengar suara saksi-saksi tersebut.

"Selain itu, proses pengecaman oleh mereka ke atas saksi lain termasuk tertuduh dibuat melalui jurubahasa atau lain-lain pegawai mahkamah tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguamnya," katanya dalam permohonan pendakwaan yang dibuat pada hari kedua perbicaraan tersebut di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa.

Jamil berkata, tindakan membenarkan peguam dan tertuduh melihat saksi yang dilindungi membawa kepada pendedahan identiti.

Katanya, perkataan identiti bukan hanya bermaksud berkaitan latar belakang, maklumat peribadi mahupun lokasi saksi tetapi juga perkara yang boleh membawa kepada pendedahan identiti termasuk pengecaman wajah saksi.

"Pihak pendakwaan juga memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah supaya tiada pihak termasuk media yang boleh membawa kepada terdedahnya apa-apa maklumat tentang saksi terlindung.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kata lain, terdapat ancaman kepada saksi ini dan pendedahan identiti akan mendatangkan risiko ke atas keselamatan mereka," katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili tertuduh membantah permohonan itu dengan mengemukakan alasan bahawa Akta Perlindungan Saksi tidak diperlukan kerana afidavit yang diserahkan oleh pihak pendakwaan mempunyai nama saksi.

Menurutnya, walaupun saksi pertama iaitu mangsa boleh memberikan keterangan tanpa dilihat oleh tertuduh, pihak pembelaan mempunyai hak untuk bertanya beberapa soalan kepada saksi tersebut.

Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed kemudian memutuskan bahawa pihak pendakwaan perlu menunggu sehingga pasukan pembelaan menyiapkan jawapan untuk permohonan tersebut.

Beliau berkata, sementara menunggu jawapan tersebut, perbicaraan tersebut tetap perlu diteruskan dengan meminta pihak pendakwaan bersedia memanggil saksi lain.

Perbicaraan seterusnya bersambung pada Rabu.