Tiga kampung di Terengganu, satu di Sabah kena PKPD

Tiga kampung di Terengganu dan sebuah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 20 April ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.
Tiga kampung di Terengganu dan sebuah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 20 April ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga kampung di Terengganu dan sebuah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 20 April ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak di Mukim Hulu Besut manakala di Sabah ialah Kampung Murni C di Nabawan.

Beliau berkata, 58 ujian saringan dilaksanakan di ketiga-tiga lokaliti di Terengganu dan daripada jumlah itu, enam disahkan positif Covid-19 manakala di Sabah, 17 ujian saringan dilakukan yang merekodkan enam kes positif wabak tersebut.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan kadar kebolehjangkitan di kesemua lokaliti adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” menurutnya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan pada Selasa.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, seramai 95 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP pada Isnin dan daripada jumlah itu, 86 dikompaun manakala sembilan direman.

Beliau berkata, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran merupakan kesalahan paling tinggi direkodkan melibatkan 38 individu diikuti kegagalan merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (31), aktiviti pusat hiburan (17), tidak memakai pelitup muka (8) dan tiada penjarakan fizikal (1).

Katanya, menerusi Op Benteng pada Isnin, tiga pendatang asing tanpa izin ditahan, 14 diusir dan tiga kenderaan darat dirampas.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, pada Isnin juga, seramai 661 individu tiba di pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Jelasnya secara kumulatif, seramai 168,405 telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai lepas dan daripada jumlah itu, sejumlah 9,233 individu dikuarantin, 157,914 dibenarkan pulang manakala 1,258 dibawa ke hospital. - Bernama