Malaysia kaji dasar, strategi pelaburan percepat projek berimpak tinggi

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malaysia ketika ini sedang melaksanakan usaha padu untuk mengkaji semula dasar sedia ada dan menyusun semula strategi pelaburannya bagi memastikan pelaksanaan projek berimpak tinggi boleh dipercepatkan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah itu penting bagi memastikan dasar pelaburan kerajaan relevan, berdaya tahan dan responsif kepada ekosistem yang sedang berkembang.

“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa usaha penggalakan pelaburan berterusan yang dilakukan Malaysia telah berjaya menarik perhatian pelabur, termasuk pelabur dari Jepun.

“Berpandukan aspirasi ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerajui pembaharuan holistik agenda pelaburan Malaysia,” katanya dalam ucapan beliau pada forum pelaburan dalam talian anjuran Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) bertajuk “Malaysia in its Present State” pada Selasa.

Mohamed Azmin berkata, agenda baharu ini akan bersandarkan kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang akan mengemudi Malaysia ke arah hab pelaburan serantau dengan tujuan meningkatkan kekompleksan ekonomi, mencipta pekerjaan bernilai tinggi, meluaskan hubungan domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada dan menambah baik keterangkuman.

“Strategi pelaburan baharu kita akan menyediakan rangsangan yang perlu bagi meneruskan pelaburan teknologi tinggi dan mampan serta menggiatkan inovasi, mencari keseimbangan antara ekonomi dan kelestarian alam sekitar di samping mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, sejajar dengan penanda aras global dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah membina asas yang perlu untuk mentransformasikan Malaysia menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MYDIGITAL) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, beliau berkata Malaysai dijangka menjadi antara yang pertama di rantau ini membina ekosistem 5G menggunakan perkhidmatan Internet dan awan dalam masa nyata.

Selain itu, katanya, Malaysia akan terus belajar daripada pengalaman luas dan kepakaran Jepun dalam automasi, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT).
Artikel Berkaitan:


“Dengan sinergi ini, saya yakin perniagaan Malaysia dan Jepun boleh meningkatkan kerjasama dalam penggunaan teknologi tinggi dan inovasi, pembuatan pintar dan semua perkara penting kepada Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Bagi meningkatkan lagi sinergi ini, beliau berkata, kedua-dua pihak juga perlu memanfaatkan hubungan sedia ada bagi mengukuhkan komitmennya untuk meningkatkan trajektori komersial dan perdagangan Malaysia-Jepun.

“Saya yakin kita berada di landasan yang betul, memandangkan pelaburan Jepun di Malaysia terus berada pada tahap tertinggi setakat ini, sebanyak RM91.4 bilion, menyumbang sejumlah 2,761 projek pembuatan dan mewujudkan 348,475 peluang pekerjaan sehingga kini.

“Ini menunjukkan keyakinan tinggi dan keutamaan untuk melabur di Malaysia. Perdagangan kita, walaupun agak menyusut iaitu sebanyak 5.3 peratus sejajar dengan kelembapan ekonomi global pada 2020, masih mencerminkan kepentingan hubungan dua hala kita. Saya optimis jumlah itu akan meningkat tidak lama lagi ketika kita beralih ke tempoh pemulihan pasca Covid-19,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Malaysia sentiasa menjadi negara dagangan terbuka dan destinasi pelaburan pilihan dan akan terus kekal begitu dipacu oleh Perancangan Nilai Uniknya kepada pelabur.

“Oleh itu, saya menggesa pelabur Jepun untuk merebut peluang ini, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi untuk menimbang tawaran lumayan dan insentif kompetitif serta pelepasan cukai yang ditawarkan Malaysia.

“Lihat Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN. Oleh itu, pelabur akan dapat memanfaatkan peluang daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang menyediakan pasaran kepada tiga bilion penduduk,” katanya. - Bernama

TAG: Mohamed Azmin, dasar, pelaburan, Jepun, JETRO, forum