Selangor masih tunggu SOP pengendalian bazar Ramadan

Zamani Ahmad (dua dari kanan) menyaksikan gimik pelancaran pada Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi MDSB di Dewan Seri Bernam pada Selasa.
Zamani Ahmad (dua dari kanan) menyaksikan gimik pelancaran pada Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi MDSB di Dewan Seri Bernam pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan negeri Selangor masih menunggu prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pengendalian bazar Ramadan di negeri ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, pengumuman mengenai SOP itu nanti akan dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam waktu terdekat.

Menurutnya, buat masa ini segala SOP bagi pengendalian bazar Ramadan mengikut seperti yang disarankan di peringkat Persekutuan.

"Cuma SOP di peringkat kita (kerajaan negeri) berubah-ubah mengikut keadaan sama ada PBT (pihak berkuasa tempatan) boleh kawal (pematuhan SOP) ataupun tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 2020 di Dewan Seri Bernam di sini pada Selasa.

Zamani Ahmad berkata, segala SOP daripada MKN akan diperhalusi dan dibincangkan terlebih dahulu sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

"Sebenarnya SOP (pengendalian bazar Ramadan di Selangor) pada masa ini dilaksanakan seperti pengendalian pasar malam, namun sebarang perubahan akan dimaklumkan," katanya.

Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi MDSB itu turut meraikan pengamal media dan petugas barisan hadapan pada majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, turut diraikan seramai 21 kakitangan MDSB yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 11 kakitangan yang sudah bersara dan bakal bersara serta dua penerima yang berkhidmat melebihi 25 tahun.

Bagi penerima tokoh pekerja pula disandang kakitangan dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, Hairol Anuar Ahmad.