Sekatan Sri Lanka tak jejas industri minyak sawit Malaysia

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

MELAKA - Sekatan Sri Lanka ke atas import minyak sawit Malaysia yang diumumkan pada Isnin dijangka tidak menjejaskan industri komoditi utama negara memandangkan pasarannya semakin berkembang di beberapa negara lain seperti Afrika dan di Timur Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, permintaan terhadap minyak sawit negara juga semakin meningkat di Filipina dan Vietnam, sekali gus membuktikan kualiti komoditi itu menjadi antara faktor yang membantu memperluas pasaran di peringkat global.

“Dunia mempunyai populasi rakyat melebihi tujuh bilion justeru minyak sawit Malaysia serta yang dikeluarkan Indonesia dan lima negara lain yang sedang bergerak ke arah industri sawit cukup untuk menampung keperluan dunia.

"Kita yakin minyak sawit kita pasti diterima di dunia. Kalau seorang tidak berminat, ramai lagi yang berminat dan yang penting kita berikan kualiti terbaik pada pengeluaran minyak sawit negara," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Lembaga Koko Malaysia dan melancarkan kiosk coklat di Hotel Lacrista di sini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia Dr Aliakbar Gulasan.

Mengulas lanjut Mohd Khairuddin berkata, sekatan yang dikenakan Sri Lanka merupakan diskriminasi terhadap keluaran negara sedangkan minyak sawit Malaysia mempunyai kualiti terbaik dan telah mencapai 90 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Beliau berkata Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) juga telah ditubuhkan bagi aktiviti konservasi sebagai usaha untuk menangani kempen antiminyak sawit.

Artikel Berkaitan:

"Antara isu yang ditimbulkan dalam usaha mendiskriminasi minyak sawit negara ialah aktiviti penebangan hutan yang didakwa dilakukan Malaysia namun sebaliknya negara ini mempunyai rizab hutan yang besar dan MPOGCF ditubuhkan semata-mata untuk menggalakkan aspek kehijauan dan kelestarian, maka tidak wajar kita dianaktirikan.

"Sri Lanka perlu mendapatkan maklumat lengkap daripada kerajaan Malaysia tentang usaha yang dilaksanakan agar hak kita untuk memasarkan minyak sawit di luar negara tidak dipertikaikan," katanya.

Pada Isnin, Reuters melaporkan Sri Lanka melarang atau menyekat import minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia selain menghalang pembukaan ladang kelapa sawit baharu.

Negara berkenaan dianggarkan mengimport kira-kira 200,000 tan minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairuddin berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menerusi Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko.

Beliau berkata peruntukan itu meliputi skop pengukuhan pasaran, promosi dalam dan luar negara, pembangunan usahawan baharu, menaik taraf usahawan sedia ada, bantuan teknikal, pemantauan prestasi usahawan serta aktiviti lain yang dapat meningkatkan industri koko dan coklat negara.

"Menerusi peruntukan itu, kita juga menyasarkan untuk melahirkan kira-kira 1,000 usahawan coklat buatan tangan dalam tempoh lima tahun di bawah RMKe-12.

"Pada RMK11, sebanyak 232 usahawan coklat buatan tangan telah diwujudkan dan berdaftar dengan Lembaga Koko Malaysia dan pada tahun lepas sahaja jumlah pendapatan usahawan berkenaan mencecah RM5.81 juta," katanya.