Permohonan BTAR 2021 kini dibuka

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) 2021 yang ditawarkan Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) kini dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Pemegang amanah YTAR, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, permohonan itu dibuka sehingga 12 April depan.

Menurutnya, ia terbuka kepada mereka yang ingin atau sedang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti tempatan awam atau swasta dalam pelbagai bidang.

"Calon hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun dalam baki pengajian mereka untuk membuat permohonan.

"Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang berasal dari latar belakang keluarga yang berpendapatan isi rumah bernilai RM4,850 dan ke bawah, berkeadaan unik atau sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

YTAR ditubuhkan pada 1966 sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melalui Akta Yayasan Tunku Abdul Rahman 1966 untuk membantu rakyat Malaysia yang berkeperluan tinggi mendapatkan akses kepada pengajian tinggi.

Sejak 2007, YTAR telah menganugerahkan biasiswa kepada lebih 300 pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda mereka di universiti tempatan awam dan swasta di bawah BTAR sebagai Tunku Scholars.

Mengulas lanjut, Dr Shad Saleem yang juga Pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman menjelaskan, tawaran permohonan itu seiring dengan usaha YTAR untuk terus mencari pelajar berpotensi tinggi yang menerapkan nilai-nilai Tunku.

Artikel Berkaitan:

"Kami komited memperkasakan pelajar-pelajar yang berasal dari latar belakang berpendapatan rendah untuk mencapai impian dan cita-cita mereka," katanya.

Kata beliau, sejak 2019 yayasan itu telah memperbaharui arah biasiswa berkenaan dengan mengutamakan kecemerlangan yang holistik dan berdasarkan nilai murni.

Menurutnya, selain daripada tajaan penuh terhadap yuran dan elaun universiti, Tunku Scholars juga akan melalui program pembangunan kepimpinan selama dua tahun.

"Program pembangunan kepimpinan menggabungkan bimbingan profesional oleh para profesional industri atau alumni, bengkel pembangunan dan juga peluang rangkaian.

"Salah satu ciri yang unik bagi biasiswa ini adalah projek kemasyarakatan Tunku Scholar, di mana semua Tunku Scholars akan dibimbing untuk memimpin sebuah projek kemasyarakatan pilihan mereka," katanya.

Sementara itu, Pemegang Amanah YTAR yang juga cucu Tunku, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein berkata, program pembangunan kepimpinan selama dua tahun itu dirancang untuk membantu penerima biasiswa dalam perjalanan mereka untuk muncul sebagai pembangun negara.

"Mereka akan menerima sokongan dan bimbingan pada setiap langkah, dari membina asas kepimpinan diri, aspirasi kerjaya peribadi kepada impian mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat Malaysia.

"Seorang Tunku Scholars yang mempunyai aspirasi adalah seorang yang menunjukkan ketabahan yang tinggi, rekod mengatasi halangan, potensi kepimpinan yang tinggi dan cita-cita untuk berkhidmat untuk masyarakat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, seorang penerima biasiswa berkenaan, Flora Harun, 21, berkata, biasiswa tersebut membantunya melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

"Lebih penting ia juga memberikan kesempatan kepada saya untuk menyertai program pembangunan kepimpinan.

"Program itu melatih saya dengan kemahiran dan ilmu untuk menjadi seorang peguam yang komited untuk berkhidmat kepada orang ramai," katanya yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan ibunya berstatus ibu tunggal.

Dia dianugerahkan BTAR pada tahun lalu bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Mereka yang berminat untuk memohon BTAR atau untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha YTAR itu boleh melayari laman web www.yayasantar.org.my.