Irfan Bakti puas hati persembahan TFC bertemu JDT

Irfan Bakti - Foto Bernama
Irfan Bakti - Foto Bernama
A
A
A

JURULATIH Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh pemainnya ketika pertembungan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini malam tadi.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya TFC ketinggalan 2-1, pemainnya tetap kekal bersemangat dan berusaha sedaya upaya mencari peluang menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir permainan iaitu seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.

"Disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain pada malam ini amat mengagumkan dan saya sangat puas hati.

"Jika mereka meneruskan permainan seperti ini pada masa akan datang, insya-Allah kita dapat kutip tiga mata penuh pada perlawanan menentang pasukan Kuala Lumpur minggu depan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang JDT malam tadi.

Ditanya mengenai resipi yang membuatkan pemainnya berjaya mempamerkan corak permainan penuh aksi berbanding dua perlawanan menentang PKNS FC dan Pahang sebelum ini, beliau berkata perkara itu disebabkan mereka telah mulai mendapat rentak dalam permainan.

Selain itu, kegagalan dalam dua perlawanan sebelum ini turut menambah keghairahan anak buahnya untuk bangkit namun berdepan sedikit kesukaran kerana terpaksa menghadapi lawan yang kuat.

"Maksud kalah ialah sebelum ini kami hanya dapat kumpul satu mata melalui perlawanan dengan PKNS FC dan itu pun agak terkilan sedikit kerana kita sepatutnya dapat kutip tiga mata di tempat sendiri.

"Walaupun tak dapat menang atas mana-mana tiga perlawanan, kita akur kerana kita jumpa dengan pasukan yang kuat," katanya yang turut melahirkan penghargaan kepada 10,000 penonton yang hadir memberikan sokongan padu kepada TFC malam tadi. - Bernama

Artikel Berkaitan: