Tanam secara haram, pokok durian musang king dimusnahkan

Pokok durian musang king dan duri Hitam serta pokok pisang yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, Raub.
Pokok durian musang king dan duri Hitam serta pokok pisang yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, Raub.
A
A
A

RAUB - Pokok durian musang king di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras di sini antara yang dimusnahkan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub kerana dikesan ditanam secara haram.

Selain pokok tersebut, turut dimusnahkan di lokasi berkenaan ialah pokok durian jenis duri hitam dan pokok pisang membabitkan keluasan kira-kira 16.2 hektar.

Malah, sebahagian pokok pisang terbabit sudah mengeluarkan hasil dan dipercayai dipasarkan di daerah ini.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, operasi memusnahkan tanaman berkenaan bermula 9 pagi Isnin yang disertai seramai 14 kakitangan PHD Raub dengan bantuan Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota polis.

Beliau berkata, siasatan mendapati kawasan tersebut diteroka secara haram dan didalangi tiga individu.

Menurutnya, terdapat lebih 5,300 pokok terdiri daripada kira-kira 4,000 pokok pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan dan selebihnya pokok durian berusia tiga bulan.

Pokok Pisang ditanam secara haram di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, Raub yang dimusnahkan dalam operasi dijalankan PHD Raub bermula Isnin.
Pokok Pisang ditanam secara haram di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, Raub yang dimusnahkan dalam operasi dijalankan PHD Raub bermula Isnin.

Selain itu, katanya, bentuk muka bumi kawasan berkenaan adalah berbukit.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dibina di situ. Tempat itu dipercayai dijadikan tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang yang bekerja dengan tiga individu terbabit.

"Bagaimanapun, tiada pekerja ditemui dalam kawasan ladang berkenaan ketika operasi dijalankan. Mereka dipercayai mereka terlebih dahulu meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan," katanya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, operasi membersihkan kawasan berkenaan dijangka mengambil masa hingga lima hari bergantung dengan keadaan cuaca.

Menurutnya, kerja memusnahkan tanaman itu mengambil masa panjang kerana kakitangan yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini. Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.