KPWKM harap pemberian vaksin kepada kanak-kanak dipercepat

Rina Mohd Harun -Foto Bernama
Rina Mohd Harun -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap agar pemberian vaksin untuk kanak-kanak di negara ini dapat dipercepatkan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ini kerana pihaknya memandang serius perkembangan terkini peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan yang melibatkan murid, guru dan kakitangan sekolah.

"Kementerian menzahirkan rasa kebimbangan kerana kanak-kanak merupakan kumpulan yang tidak tersenarai untuk menerima vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sama ada dalam fasa pertama, kedua mahupun yang ketiga sedangkan kanak-kanak juga merupakan golongan yang berisiko mendapat jangkitan wabak itu.

"Kementerian juga komited dalam usaha membantu pihak kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat perlu divaksinkan bagi mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menerusi PICK," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Rina, pihaknya akan berhubung dan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk memastikan kebajikan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini terus terpelihara.

"Pada masa ini, tahap keberkesanan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun masih lagi dalam peringkat kajian," katanya.

Justeru katanya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga kepentingan kanak-kanak di Malaysia, usaha memerangi pandemik Covid-19 harus mengambil kira keperluan golongan tersebut.

Artikel Berkaitan: