Siasat aktiviti pembalakan di Sera Ular: CAP

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah dan Jabatan Perhutanan menyiasat aktiviti pembalakan di kawasan Sera Ular di Baling.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, aktiviti pembalakan itu menjejaskan sumber bekalan air yang digunakan lebih 100 penduduk Kampung Tanjung Pari dan Kampung Batu Lapan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, masalah berkenaan telah lama berlaku, namun hingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasi isu berkenaan.

"Aktiviti pembalakan ini telah menyebabkan air takungan dari bukit yang dikenali sebagai bekalan air masyarakat menjadi keruh dan berselut.

"Keadaan ini menimbulkan banyak kesulitan kepada penduduk yang terlibat untuk mandi, membasuh dan memasak sehingga mereka terpaksa menadah air hujan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mohideen turut bimbang keadaan itu ia memudaratkan kesihatan penduduk di kedua-dua kampung tersebut jika masalah terbabit berterusan.

Selain itu katanya, hakisan tanah dari kawasan aktiviti pembalakan juga boleh menyebabkan saliran dan sungai berhampiran menjadi cetek akibat mendapan lumpur serta boleh menimbulkan ancaman banjir kilat pada masa akan datang.

"CAP minta kerajaan negeri Kedah dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian secara menyeluruh mengenai masalah ini. Jika terbukti aktiviti tersebut melanggar undang-undang, mengancam alam sekitar serta kehidupan penduduk tempatan, ia wajar dihentikan segara.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, CAP turut menggesa Syarikat Air Darulaman (SADA) membekalkan air bersih secukupnya kepada penduduk kampung yang menghadapi masalah ini untuk keselesaan dan menjamin kesihatan mereka," katanya.