Pahang benarkan solat tarawih di masjid, surau hingga jam 10 malam

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN- Umat Islam di negeri ini dapat menunaikan solat sunat tarawih di masjid dan surau selepas ibadat itu dibenarkan sepanjang Ramadan ini.

Tempoh ibadah itu yang bermula dengan solat Isyak berjemaah hingga solat sunat witir dan doa ditetapkan sehingga jam 10 malam sahaja sebagaimana prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan SOP yang ditetapkan untuk aktiviti masjid dan surau sepanjang Ramadan ini, jemaah hanya dibenarkan hadir solat sunat tarawih di masjid atau surau di dalam kariah masing-masing.

Menurutnya, jumlah jemaah dibenarkan berdasarkan kapasiti ruang solat yang disediakan dengan kawalan pihak pengurusan masjid dan surau bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

"Bagaimanapun penglibatan imam dari luar negeri Pahang termasuk dari pondok dan maahad tahfiz, penyertaan pelajar dari sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun dan tazkirah tarawih tidak dibenarkan," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, tazkirah selepas Zohor dan sebelum solat Jumaat dibenarkan selama tempoh 15 minit sahaja.

"Bagi aktiviti seperti qiamulail, majlis tadarus dan khatam al-Quran, kaunter zakat fitrah, iftar dan moreh turut dibenarkan dengan SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pemantauan pihak berkuasa akan terus dilakukan pada bila-bila masa bagi memastikan jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk SOP sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana masjid dan surau yang didapati gagal mematuhi SOP dan disahkan berlakunya penularan pandemik Covid-19, kebenaran untuk aktiviti Ramadan akan dibatalkan.

"Diharapkan, SOP yang dimumkan ini dapat dipatuhi sepenuhnya umat Islam di seluruh negeri agar kita dapat menunaikan ibadah sepanjang Ramadan ini dalam suasana yang baik selain membantu membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini," katanya.