Polis berkas suspek kes samun

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki diberkas polis dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di dua kedai dobi layan diri di sekitar kawasan Bangi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek dipercayai terlibat dalam dua jenayah samun iaitu di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Bangi dan sebuah lagi kedai dobi layan diri bersebelahan lokasi pertama.

"Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian pertama melibatkan mangsa seorang wanita yang selesai mencuci baju di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Bangi, suspek bertindak mengacukan pisau pada mangsa mengakibatkan mangsa ketakutan dan menyerahkan wang sebanyak RM60 kepada suspek.

"Kejadian kedua pula berlaku selang lima minit dari kejadian pertama, mangsa seorang wanita disamun ketika sedang mencuci pakaian, suspek bertindak merampas telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan berhampiran kedai tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek yang merupakan warga tempatan itu ditahan di sebuah rumah di Mantin, Negeri Sembilan kira-kira dua jam selepas kejadian.

"Dalam serbuan tersebut, pihak polis merampas kereta dan pisau yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, satu rekod jenayah serta satu rekod masih dikehendaki oleh pihak polis juga berkaitan dadah," katanya.

Menurutnya, suspek direman enam hari bagi melengkapkan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502.

"Kes disiasat di bawah seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.