Covid-19: Dua sekolah rendah di Melaka ditutup

Dua buah sekolah rendah di Masjid Tanah terpaksa ditutup bermula Isnin selepas guru dan murid disahkan positif Covid-19. - Gambar hiasan
Dua buah sekolah rendah di Masjid Tanah terpaksa ditutup bermula Isnin selepas guru dan murid disahkan positif Covid-19. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Dua buah sekolah rendah di Masjid Tanah terpaksa ditutup bermula Isnin selepas guru dan murid disahkan positif Covid-19.

Penularan kes berkenaan dipercayai jangkitan dalam komuniti melalui perjumpaan keluarga pada 26 Mac lalu di Kampung Nelayan Kuala Sungai Baru dan majlis tahlil keesokan hari di Taman Permai Kuala Sungai Baru.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan, namun jangkitan itu melibatkan Kluster Jalan Kenanga yang merupakan kes indeks seorang suri rumah menetap di Jalan Kenanga, Taman Paya Rumput, Masjid Tanah.

Menurutnya, seramai 207 individu telah disaring dan 25 didapati positif malah kluster ini juga melibatkan lima buah keluarga di lokasi berasingan di Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

"Setakat ini institusi terlibat dengan penutupan sementara yang bermula Isnin lalu hingga Rabu ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram selepas terdapat guru dan kakitangannya positif.

"SK Pengkalan Balak pula ditutup selepas terdapat enam kes positif membabitkan tiga guru dan tiga murid, sekolah mula ditutup Rabu ini hingga Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, dua kes positif direkodkan membabitkan kakitangan sebuah pusat pengajian tinggi namun dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Selain itu katanya, Kluster Jalan Mata Kucing yang dikesan pada 19 Mac lalu membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di sebuah madrasah tahfiz disahkan positif.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun punca jangkitan dalam komuniti masih disiasat dan seramai 67 kontak rapat telah disaring.

"Proses sanitasi di madrasah juga telah dijalankan dan setakat ini hanya 16 kes positif dikesan dalam kalangan generasi pertama sahaja," katanya.