Berbuka dalam dulang, talam tidak dibenarkan

Halim (kanan) menyampaikan buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia kepada salah seorang pengamal media di Pejabat Jabatan Mufti Melaka di Bukit Palah pada Selasa.
Halim (kanan) menyampaikan buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia kepada salah seorang pengamal media di Pejabat Jabatan Mufti Melaka di Bukit Palah pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri membenarkan jamuan seperti berbuka puasa, sahur dan moreh diadakan di masjid dan surau sepanjang Ramadan ini namun secara hidangan bufet dan bungkus.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, penyediaan makanan yang melibatkan risiko jangkitan seperti penyediaan menggunakan dulang atau talam tidak dibenarkan dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan mengikuti aktiviti mengimarahkan masjid termasuk solat tarawih manakala aktiviti bermalam tidak dibenarkan.

"Antara aktiviti yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah majlis tadarus dan khatam al-Quran, aktiviti iktikaf dan qiamullail serta memasak di masjid dan surau.

"Jumlah jemaah yang dibenarkan bergantung kepada kapasiti ruang masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter selain solat tarawih dibenarkan dengan lapan atau 20 rakaat serta diakhiri dengan witir," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Jabatan Mufti Melaka di Bukit Palah di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaksanaan solat tarawih digalakkan namun mestilah dibuat secara ringkas iaitu memilih bacaan surah pendek selain tazkirah selepas atau antara solat juga dibenarkan tetapi hendaklah secara ringkas.

Menurutnya, sekiranya pihak masjid dan surau ingin memasang khemah tambahan bagi menampung jumlah jemaah yang ramai selain keselesaan jemaah ia juga dibenarkan tetapi hanya di dalam kawasan premis agar tidak menghalang lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga masih menetapkan tidak membenarkan penceramah dari luar Melaka atau negara luar kecuali dengan kebenaran khas dari Jabatan Mufti dalam masa sama warganegara asing masih tidak dibenarkan mengikuti aktiviti di masjid dan surau," katanya.

Pada pertemuan itu, Halim turut menyampaikan buku 'Covid-19 Melanda Negara dan Dunia' kepada pengamal media pelbagai agensi.