Penganggur menyamar pegawai khas timbalan menteri dipenjara 8 bulan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menyamar sebagai pegawai khas kepada seorang timbalan menteri dan meminta wang daripada seorang wanita.

Pertuduhan terhadap Mohd Zafir Zainuddin, 38, dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Rozina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 1 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zafir didakwa memperdaya mangsa dengan mengaku dia sebagai pegawai khas kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia serta berjanji untuk mendapatkan peruntukan geran bagi sebuah filem daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sedangkan tertuduh bukan pegawai khas timbalan menteri itu.

Ia mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM5,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Presint 9, Putrajaya pada jam 5.15 petang, 1 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azeem Hafeez Jamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang penganggur ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah sebanyak RM5,000 serta lima peratus daripada permohonan dana geran filem bernilai RM1.8 juta.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rasuah: Penganggur menyamar pegawai khas timbalan menteri direman