Agong kurnia darjah SUMW kepada empat penerima

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pulang selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan di Istana Negara hari ini. Turut hadir Abdul Rahman (dua dari kiri), Juhar (kiri) dan Mohd Ali (kanan). - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat pulang selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan di Istana Negara hari ini. Turut hadir Abdul Rahman (dua dari kiri), Juhar (kiri) dan Mohd Ali (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan, Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) kepada empat individu kenamaan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Turut berangkat pada istiadat di Istana Negara Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mendahului senarai penerima ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas yang dianugerahkan darjah SUMW membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Turut menerima darjah kebesaran itu adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Hadir sama pada istiadat tersebut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataan berkata, penganugerahan tersebut diberikan kepada tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada kemajuan Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, Abdul Rahman berjasa dalam mengukuhkan jalinan perniagaan dan industri antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang membuka peluang perniagaan baharu serta pelaburan bagi komuniti perniagaan dan industri.

Sementara, Juhar pula memainkan peranan penting menyuntik semangat yang dibawa dalam Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah adalah satu daripada rakan sekutu dalam kewujudan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kemajuan Sabah membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan meluaskan rangka kemajuan ekonominya secara bersepadu dengan Sabah sebagai sebuah hab logistik, pengangkutan, minyak dan gas serta pelancongan,” menurut Annuar.

Menurut kenyataan itu, Ragad Kurdi adalah penaung pelbagai organisasi kebajikan dan amal bergiat aktif dalam menghulurkan sumbangan serta bantuan kewangan dan peralatan perubatan bagi menangani wabak Covid-19.

Mohd Ali pula banyak berjasa mengeratkan hubungan Melaka dan Kuala Lumpur sebagai bandar raya berkembar dalam pelbagai sektor ekonomi. - Bernama