X

Kindly register in order to view this article
!

Penolong jurutera didakwa terima suapan RM96,780

Tertuduh (tengah) tidak mengaku salah atas tuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM96,780.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penolong jurutera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM96,780.

Bagaimanapun tertuduh, Md Shahrul Haizal Mohamad, 42, tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, Md Shahrul Haizal sebagai penolong jurutera merangkap pegawai penyelia tapak didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan.

Tertuduh didakwa mengambil tindakan dengan mendapatkan kerja-kerja penyelenggaraan cerun runtuh dengan kaedah gabion/backfill earth dan drainage system dan lain-lain kerja berkaitan di Jalan Felda Tersat, Hulu Terengganu sebanyak RM96,780.

Kerja-kerja itu didakwa mempunyai hubungan dengan perkara yang tertuduh ada kepentingan iaitu tertuduh sendiri menjalankan kerja-kerja tersebut dan memperakui kerja itu siap sempurna dijalankan oleh kontraktor di dalam borang pengesahan penyiapan inden kerja.

Md Shahrul Haizal didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2015 di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Hulu Terengganu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana-mana nilai lebih tinggi.

Sejurus pengakuan direkodkan, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!