MAIWP umum tiga kadar bayaran zakat fitrah

Zulkifli (dua dari kiri) memegang replika tanda harga kadar bayaran zakat fitrah untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada tahun ini.
Zulkifli (dua dari kiri) memegang replika tanda harga kadar bayaran zakat fitrah untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kadar wajib bayaran zakat fitrah sebanyak RM5 untuk meringankan beban umat Islam yang kurang mampu bagi menunaikan kefarduan tersebut akibat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, kadar sebanyak RM7 dan RM14 ditetapkan untuk mereka yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.

“Bagaimanapun, bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakan secara sukarela tanpa paksaan,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Perlantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1442H di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, seramai 73 ketua amil dan 836 amil dilantik bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah di kaunter kutipan di pelbagai lokasi di Wilayah Persekutuan.

Katanya, sejajar dengan norma baharu, MAIWP memperkenalkan kaedah pembayaran secara dalam talian yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi MAIWP di www.maiwp.gov.my atau aplikasi pembayaran seperti ePay MAIWP, SnapNPay, e-dompet Boost, JomPAY, dan laman sesawang PPZ di fitrah.zakat.com.my.

“Pembayaran tanpa tunai kepada amil-amil, yang mana mereka akan diberikan kod QR yang boleh diimbas bagi menjalankan transaksi tanpa tunai juga digalakkan,” katanya.

Pada Selasa, Zulkifli merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1442H di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak RM9.23 dana zakat disalurkan kepada 790 buah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya melalui aktiviti pengimarahan Ramadan yang digerakkan oleh MAIWP.

“Pecahan dana terbahagi kepada tiga, iaitu RM15,000 kepada masjid, RM12,500 kepada surau Jumaat dan RM11,000 kepada surau biasa.

“MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menyambung program Dapur It’am yang dilaksanakan tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM2.1 juta kali ini untuk mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan, perubatan, keselamatan, petugas kebersihan dan golongan pemandu e-hailing.

“Sumbangan tersebut akan dilaksanakan di 24 buah masjid serta 46 surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya," katanya.