Peniaga online ditipu, rugi RM23,700

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang peniaga online untuk membuat pinjaman bagi menyelesaikan masalah kewangan tidak kesampaian apabila pula mengalami kerugian sebanyak RM23,700.

Mangsa wanita yang berusia 36 tahun berdepan dengan kerugian itu selepas diperdaya anggota sindiket pinjaman wang yang tidak wujud akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, kejadian itu berlaku pada 17 Januari lalu, apabila mangsa tahun dihubungi oleh seorang lelaki bernama Branden bagi tujuan pinjaman wang.

“Mangsa bersetuju membuat pinjaman RM3,000 selepas membuat perbincangan dan telah diminta untuk membuat pembayaran wang untuk permohonan di proses.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak lapan kali ke dalam akaun yang diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan RM23,700,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklukan, sehingga kini mangsa masih belum menerima wang pinjaman berkenaan dan suspek juga gagal dihubungi.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, kelmarin," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang guru tabika berusia 32 tahun di sini apabila terpaksa menanggung kerugian RM10,300 selepas dikatakan mempunyai tunggakan pinjaman wang, semalam.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, kejadian bermula selepas mangsa wanita itu menerima panggilan kononnya dari sebuah bank yang mendakwa dia mempunyai tunggakan bayaran pinjaman.

Jelasnya, pada mulanya mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambungkan ke Balai Polis Seri Kembangan untuk membuat laporan.

“Mangsa kemudian bercakap dengan seorang suspek yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam.

“Hasil semakan Sarjan Adam mendapati mangsa turut terbabit dengan pengubahan wang haram dan sekiranya kes itu mahu ditutup, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM10,300," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dikenakan tindakan kemudian membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek.

"Bagaimanapun, selepas membuat pindahan berkenaan, mangsa menyedari dirinya sudah ditipu oleh sindiket penipuan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, semalam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merakam percakapan kedua-dua wanita itu dan mengenalpasti suspek yang terbabit berdasarkan nombor akaun yang dimasukkan wang oleh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.