Pekebun rugi RM27,800 diperdaya wanita menyamar saudara isteri

Seorang pekebun alami kerugian RM27,800 selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai saudara kepada isterinya melalui panggilan telefon pada Isnin. - Foto 123RF
Seorang pekebun alami kerugian RM27,800 selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai saudara kepada isterinya melalui panggilan telefon pada Isnin. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekebun mengalami kerugian RM27,800 selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai saudara kepada isterinya melalui panggilan telefon pada Isnin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 46 tahun dari Maran mendakwa dia dihubungi wanita tersebut untuk meminjam wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa percaya dan sedia membantu wanita tersebut telah meminta seorang rakannya memasukkan wang berkenaan menggunakan perbankan internet melalui dua transaksi atas nama individu berbeza sebanyak RM20,000.

"Bakinya dimasukkan sendiri oleh mangsa pada hari yang sama melalui salah satu akaun bank yang diberikan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga diberitahu bahawa wanita terbabit akan membayar semula wangnya pada petang hari yang sama.

Katanya, selepas menerima wang tersebut, wanita itu menghubungi mangsa dan memintanya datang ke bandar Kuantan untuk mengambil wangnya.

"Mangsa menunggu di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) seperti dijanjikan tetapi wanita tersebut tidak muncul," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sri Jaya, Maran selepas mengesyaki ditipu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Wazir, polis kini sedang mengesan dua pemilik akaun bank untuk membantu siasatan.