PNS bangun 20 usahawan BIT

Wan Junaidi ketika menyampaikan ucapan perasmian Bit Expo 2021 (BITe 2021) di Putrajaya pada Isnin.
Wan Junaidi ketika menyampaikan ucapan perasmian Bit Expo 2021 (BITe 2021) di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) menyasarkan untuk membangunkan 20 usahawan Transformasi Perniagaan (BIT) sepanjang tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha itu bagi memperbanyakkan francais tempatan.

“Perniagaan francais merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan BIT Expo 2021 di sini pada Isnin.

Menurutnya, sebagai agensi di bawah MEDAC, PNS diberi mandat untuk membantu usahawan bumiputera dalam perniagaan francais.

“PNS mempunyai wakil di setiap negeri dan mereka akan mengenal pasti produk dan perkhidmatan yang layak untuk francais tetapi masih belum berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, sistem francais yang disediakan PNS bukan hanya tertumpu kepada bisnes besar sebaliknya turut membabitkan perniagaan mikro.

“Sistem ini sangat mudah dan membantu melonjakkan peniaga dan perniagaan itu ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Wan Junaidi berkata, mentransformasikan perniagaan kecil-kecilan merupakan salah satu agenda yang boleh merangsang aktiviti pelaburan dan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“Saya melihat program BIT daripada peniaga kecil ke arah perniagaan francais ini telah merangsang pertumbuhan model-model perniagaan ekonomi baharu, unik dan berdaya maju sekalingus memberi banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi PNS, Datuk Zakaria Mohd Edris dalam ucapannya berkata, sejak diperkenalkan tahun 2013, sebanyak 130 peniaga kecil telah menyertai program ini dengan dibiayai PNS RM6.14 juta.

“Perkara yang membanggakan, penyertaan usahawan mikro di dalam program BIT melahirkan seramai 1,441 pra-francaisi sekali gus mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Tambah beliau, perkembangan positif itu membuktikan bahawa ramai peniaga kecil yang mahu melihat perniagaan mereka dimajukan supaya dapat bersaing dengan sistem perniagaan yang lebih maju dan berdaya saing.

“PNS sentiasa bersedia menyokong usahawan yang ingin berjaya dan terus memberi galakan kepada usahawan-usahawan yang mahu bergiat secara aktif dalam bidang perniagaan khususnya perniagaan francais,” katanya.