Masa untuk bertindak terhadap rasuah

No Image Caption
A
A
A

PADA 16 Januari lalu, Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen Rasuah Busters atau gerakan yang dinamakan sebagai ‘Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa’ bagi membanteras gejala rasuah.

Kempen itu juga mengangkat tema ‘Mak Kata Jangan’ memandangkan ibu merupakan individu yang cukup istimewa, yang mengajar anak untuk menilai perkara baik dan buruk.

Semalam, beliau yang bertindak sebagai Ketua Pasukan Rasuah Busters mengumumkan pasukan Teras yang dianggotai 15 ahli daripada pelbagai latar belakang bertindak sebagai gandingan pemikir dalam penyusunan strategi dalam membanteras jenayah yang semakin membarah dalam masyarakat.

Semalam juga kita dikejutkan dengan berita tangkapan kartel yang memonopoli tender kerajaan melibatkan jumlah yang terlalu besar sehingga mencecah RM3.8 bilion.

Kartel itu menjalankan kerja hina sejak 2014 dengan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.6 bilion.

Tangkapan tersebut membuka mata semua bahawa amalan rasuah sudah berakar umbi dan perlu dibasmi kerana memberi kesan yang cukup besar dalam pembangunan negara.

Justeru, penubuhan Rasuah Busters amat tepat pada masanya kerana masyarakat di negara ini sudah muak dan jelik dengan kegiatan korupsi yang berlaku melibatkan pegawai kerajaan dan pihak berkuasa, seolah-olah perbuatan rasuah ini adalah amalan biasa manakala pelakunya pula tidak pernah berasa bersalah.

Gabungan itu akan bertindak secara efisien melakukan transformasi sistem nilai dalam konteks negara ini secara harmoni berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dan dalam masa yang sama memerlukan komitmen orang ramai untuk menjadi 'mata dan telinga’ supaya impak lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang ditegaskan oleh Hussamuddin pada majlis itu, usaha menjayakan kempen Rasuah Busters tidak hanya terletak di bahu Sinar Harian sahaja, sebaliknya perlu didokong oleh setiap individu dan media di negara ini.