Kemajuan industri pesawat India

No Image Caption
A
A
A

MINGGU ini laman media sosial komuniti pertahanan negara sarat dengan pujian atas kejayaan pembinaan kenderaan perisai buatan anak tempatan pertama, Tarantula seperti diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Disebabkan kita bukan negara pengeluar produk pertahanan, maka cabaran besar bagi syarikat yang membina kenderaan Tarantula ini ialah sejauh manakah ia dapat meyakinkan kerajaan atau lebih tepat Kementerian Pertahanan agar produk tempatan itu jadi pilihan.

Sepertimana rakyat kita berbangga dengan pembinaan Tarantula, begitu juga India apabila negara itu berjaya membina pesawat tempur pelbagai peranan pertamanya, Tejas lima tahun lalu.

Ia adalah hasil usaha jurutera dan saintis India selama 33 tahun membuat kajian serta menempuh banyak kegagalan.

Pesawat tempur ringan (LCA) itu dibina oleh firma Hindustan Aeronautics Limited (HAL) bagi mengurangkan pergantungan pada pengeluar asing dan memajukan industri pertahanan skala tinggi negara tersebut.

India juga merupakan negara Asia pertama yang membina pesawat serangan dan pengebom iaitu HAL HF-24 Marut pada tahun 1961. Sebanyak 147 buah pesawat ini dibina dan turut digunakan semasa Perang India-Pakistan 1971.

Maka, tidak hairanlah sejak tempoh tersebut, India telah berdikari untuk membangunkan industri pertahanan aeroangkasa selangkah demi selangkah termasuk dalam bidang senggaraan dan baik pulih pesawat.

India yang merupakan kuasa udara keempat terkuat di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Israel memiliki kira-kira 1,500 buah pesawat termasuk 270 Sukhoi SU-30MKI, 65 buah MiG-29, 36 pesawat Rafale, 45 buah Mirage 2000 dan 100 MiG-21.

Artikel Berkaitan:

Tejas yang dikelaskan sebagai pesawat tempur generasi keempat telah meletakkan India dalam kelab eksklusif pengeluar pesawat pejuang yang mana teknologi kejuruteraannya bukan di-kuasai oleh banyak negara.

Sebagai perbandingan, AS adalah negara pertama membina pesawat tempur generasi keempat iaitu F-16 dan F-15 pada akhir tahun 1970-an, manakala China memiliki teknologi sama pada tahun 2000.

Gabungan teknologi barat dan tempatan menyaksikan ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan luar menyifatkan Tejas sebagai sebuah pesawat tempur ringan yang lebih baik berbanding pesawat pesaing buatan China.

Nasional

Disebabkan ia projek nasional, maka Tentera Udara India (IAF) menjadi pengguna pertama pesawat HAL Tejas Mk1 sejak 2016 sehinggalah ia menerima status layak untuk beroperasi dua tahun lalu.

Ketika ini IAF mengoperasikan dua skuadron Tejas berjumlah 20 buah pesawat.

Menariknya, status operasional Tejas diperoleh tidak lama sebelum pesawat itu membuat penampilan sulung pada pertunjukan udara antarabangsa iaitu semasa Pameran Aerongkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019.

Hampir 60 peratus komponen pesawat itu adalah buatan tempatan, melainkan tiga komponen utama iaitu enjin buatan AS jenis General Electric F404-GE-IN20, radar dan sistem peperangan elektronik pesawat.

Pada Februari lalu, kerajaan India memuktamadkan keputusan untuk memperoleh 83 pesawat LCA Mk1A Tejas termasuk 10 versi latihan dan merupakan perolehan terbesar dibuat negara itu.

Perolehan juga akan jadi pemangkin pada kemajuan ekosistem industri aeroangkasa negara itu kerana turut melibatkan kira-kira 500 buah syarikat tempatan.

Walaupun mempunyai jarak operasi terhad tetapi Tejas boleh membawa beban tempur hampir sama seperti pesawat pejuang moden sedia ada meliputi peluru berpandu antipesawat jarak jauh, bom panduan laser dan bom konvensional.

Namun, bisa sebenar HAL Tejas Mk1 adalah keupayaannya untuk melancarkan peluru berpandu antikapal supersonik Brahmos NG yang kini sedang dipertingkatkan dan dijangka boleh diintegrasikan dua tahun lagi.

Brahmos NG adalah versi termaju peluru berpandu Brahmos A yang boleh menembak sasaran sejauh 290 kilometer.

HAL Mk1 Tejas turut tersenarai antara pilihan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam pencarian pesawat LCA dengan keperluan sekurang-kurangnya 36 buah pesawat.

Siapa tahu, mungkin juga Tejas menjadi platform pertahanan udara dan maritim negara yang akan digeruni musuh.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu