X

Kindly register in order to view this article
!

Krisis Raja Jordan goncang dunia Arab

Jordan kini terlibat dalam masalah dalaman diraja melibatkan pemerintah negara itu, Raja Abdullah II dengan adiknya, Putera Hamzah. - Foto AFP
A
A

KRISIS melibatkan pemerintah Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein dan adiknya, Putera Hamzah yang juga bekas Putera Mahkota pada Sabtu lalu bukan sahaja menggoncang negara itu tetapi juga di seluruh dunia Arab.

Dalam krisis itu, Putera Hamzah mendakwa beliau telah ditahan di rumahnya menerusi satu rakaman video yang kemudian didedahkan oleh pihak media tetapi dinafikan oleh pihak tentera.

Jurucakap Tentera menyatakan bekas Putera Mahkota itu diminta untuk menghentikan pergerakan dan aktivitinya yang menyebabkan Jordan menjadi tidak stabil.

Menerusi rakaman video tersebut, adik Raja Abdullah itu mendakwa diberitahu oleh pihak tentera Jordan bahawa beliau tidak dibenarkan untuk meninggalkan rumah sekali gus timbul dakwaan bekas Putera Mahkota berkenaan dikenakan tahanan rumah.

Putera Hamzah juga menyalahkan pemimpin-pemimpin negara itu kerana rasuah dan ketidakcekapan pentadbiran sejak 15 hingga 20 tahun lalu dan masih yang berlaku ketika ini.

Kira-kira 14 hingga 16 orang termasuk keluarga diraja dan bekas-bekas pegawai kanan negara itu yang mempunyai hubungan rapat dengan institusi diraja negara tersebut dilaporkan turut ditahan oleh pihak berkuasa negara berkenaan atas sebab-sebab keselamatan.

Maklumat awal yang disebarkan media-media Barat menggambarkan bahawa satu rancangan bagi merampas kuasa dan menggulingkan Raja Abdullah II, 59, berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa Jordan.

Bagaimanapun, pada Ahad lalu, pihak berkuasa negara itu menyatakan ia berjaya menggagalkan satu pelan berniat jahat oleh bekas Putera Mahkota tersebut untuk menjadikan Jordan tidak stabil dengan sokongan daripada pihak asing.

Bekas Putera Mahkota Jordan, Putera Hamzah Al Hussein. - Foto AFP
Bekas Putera Mahkota Jordan, Putera Hamzah Al Hussein. - Foto AFP

Identiti pihak asing itu setakat ini masih tidak didedahkan tetapi seorang penduduk Israel yang tinggal di Eropah dilaporkan telah menghubungi isteri Putera Hamzah, 41, pada hujung minggu lalu dan menawarkan bantuan untuk membawa keluarganya keluar dari Jordan dengan menggunakan sebuah pesawat peribadi.

Agensi berita Ammon dari Jordan yang memetik satu sumber mendakwa warga Israel itu ialah Roy Shaposhnik namun menurut portal berita Walla, beliau bukan seorang pegawai perisikan Israel iaitu Mossad seperti yang tersebar menerusi agensi berita AP.

Sebaliknya, Shaposhnik berkata, beliau menawarkan untuk membantu keluarga Putera Hamzah atas kapasitinya hanya semata-mata sebagai rakan kepada bekas Putera Mahkota negara tersebut.

Jordan dan Israel sebelum ini menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1994 ketika Amman diperintah oleh ayahanda Raja Abdullah II iaitu Raja Hussein yang meninggal dunia pada tahun 1999 akibat menghidap penyakit kanser.

Laporan-laporan awal menunjukkan aktiviti dan pergerakan Putera Hamzah telah sampai ke peringkat yang mampu menyebabkan ketidakstabilan kepada Jordan tetapi Raja Abdullah II memutuskan adalah lebih baik beliau berbincang dengan adiknya itu dan bersama keluarga diraja, kata Timbalan Perdana Menteri Jordan, Ayman Safadi pada Ahad lepas.

Safadi berkata, agensi perkhidmatan keselamatan juga diminta supaya mereka yang ditahan atas dakwaan terlibat dalam pelan berniat jahat itu dihadapkan ke mahkamah keselamatan negara tersebut.

Apa yang menyebabkan hampir 20 orang ditangkap itu adalah kerana agensi perkhidmatan keselamatan Jordan mendengar perbualan telefon daripada beberapa orang yang dituduh cuba untuk menyahstabilkan keselamatan Jordan.

Beberapa orang yang dituduh itu didakwa membincangkan tentang waktu paling sesuai untuk mencetuskan ketidakstabilan keselamatan Jordan hingga terdapat dakwaan bahawa beberapa panggilan telah dibuat dibuat kepada pihak asing.

Sebelum ini, Putera Hamzah dianggap sebagai calon pilihan untuk menggantikan ayahandanya, Almarhum Raja Hussein sebagai pemerintah Jordan dan bukannya Raja Abdullah II yang merupakan anak sulung daripada isteri keduanya berketurunan Britain iaitu Permaisuri Muna.

Sebelum kemangkatannya akibat kanser pada tahun 1999, beliau menamakan Raja Abdullah II sebagai penggantinya kerana Putera Hamzah dianggap terlalu muda untuk menjadi raja negara itu.

Raja Abdullah II kemudiannya melantik Putera Hamzah sebagai Putera Mahkota pada tahun 1999 sebelum menarik semula gelarannya itu pada tahun 2004 dengan alasan mahu memberikan kebebasan kepada adiknya untuk bekerja serta melaksanakan sebarang misi atau tanggungjawab.

Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II. - Foto AFP
Pemerintah Jordan, Raja Abdullah II. - Foto AFP

Pada 2 JulaI 2009, pemerintah Jordan itu kemudian mengesahkan anak lelaki sulungnya, Putera Hussein yang kini berusia 26 tahun sebagai waris penggantinya.

Putera Hamzah yang mempunyai wajah mirip ayahandanya itu pula popular dalam kalangan rakyat Jordan.

Beliau ialah anak Almarhum Raja Hussein dengan Permaisuri Noor yang merupakan warga Amerika Syarikat (AS) sebelum mereka berkahwin.

Berikutan krisis tersebut, Raja Abdullah II mendapat sokongan dari Arab Saudi, Mesir, Kuwait, Qatar, Bahrain, Yemen, Lubnan, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Liga Arab, Palestin, Iraq, Majlis Kerjasama Teluk, AS, Britain dan Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) bagi menjaga kestabilan dan keselamatan Jordan.

Menteri Pertahanan sementara Israel, Benny Gantz menyatakan dalam kenyataannya krisis tersebut adalah isu dalaman negara tersebut tetapi rejim Zionis akan melakukan apa sahaja bagi memastikan jirannya itu berada dalam keadaan aman. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!