'Hubungan Pas, UMNO Selayang baik-baik saja'

Zaidy Abdul Talib
Zaidy Abdul Talib
A
A
A

SELAYANG - Hubungan UMNO dan Pas di Selayang masih utuh dan berjalan dengan baik.

Perkara itu diakui Yang Dipertua Pas Selayang, Zaidy Abdul Talib dan memaklumkan baru-baru ini Pemuda Pas dan UMNO mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburian Islam Bukit Lagong.

Menurutnya, isu Muafakat Nasional (MN) peringkat pusat tidak menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti di peringkat akar umbi.

"Alhamdulillah, semuanya macam biasa malah bertambah erat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) 28 Mac lalu berkongsi hasil Mesyuarat Tertinggi BN bahawa parti itu akan bertanding solo atas jenama BN dan lambang dacing.

Ahmad Zahid berkata, ketetapan tersebut bukan hanya daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi daripada suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Zaidy berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO berjalan seperti biasa sehingga arahan baharu dikeluarkan pimpinan pusat.

"Kita ikut arahan Pusat dengan perkukuhkan MN dan pertahankan Perikatan Nasional sehingga arahan baru dikeluarkan," katanya.

Artikel Berkaitan: