Pertembungan Green Deers, The Red Warriors ibarat final

Skuad Kelantan United pada musim ini. Foto: Kelantan United Football Club
Skuad Kelantan United pada musim ini. Foto: Kelantan United Football Club
A
A
A

KETUA Jurulatih Kelantan United (KUFC) Akira Higashiyama tidak mahu The Green Deers tercicir mata apabila bertemu pasukan 'abang' Kelantan FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Selasa.

Akira berkata, beliau mahu kemenangan pada perlawanan yang dinantikan peminat bola sepak Kelantan itu selepas anak buahnya tewas 0-1 kepada Selangor II, sebelum liga berkenaan berehat dua minggu pada akhir bulan lepas.

Beliau berkata, Green Deers tidak boleh terus tewas bagi mengelak ketinggalan mata terutamanya kepada pasukan berada di kedudukan keenam itu.

"Persiapan kami untuk perlawanan esok seolah-olah macam menghadapi aksi final,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru, Akira mahu pemainnya mempamerkan prestasi terbaik pada pertemuan esok walaupun Kelantan FC dibarisi pemain muda.

Green Deers selepas lima perlawanan berada di kedudukan ketujuh manakala Kelantan FC di tangga keenam dengan masing-masing mengumpul tujuh mata namun dipisahkan melalui perbezaan gol.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC Marco Ragini berkata, The Red Warriors (TRW) begitu bersemangat dan tidak gentar biarpun dibarisi pemain muda.

“Saya bangga dengan pemain muda dalam skuad. Mereka menunjukkan peningkatan dan lebih yakin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: