Tajaan syarikat judi tak wajar berlaku: Musa

A
A

SHAH ALAM - Tajaan daripada mana-mana syarikat perjudian bagi tujuan lawatan atau kursus pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak wajar berlaku.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun ada kegiatan perjudian di negara ini dilesenkan oleh kerajaan, soal penguatkuasaan berkaitan aktiviti itu dijalankan oleh polis.

Menurutnya, sudah tentu wujud persepsi berkaitan konflik kepentingan dalam perkara tersebut.

"Bila ada konflik, saya rasakan tidak berapa elok polis terima apa-apa tajaan daripada syarikat swasta yang jalankan kegiatan tersebut," katanya, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tajaan ke Turki: Tun M, Guan Eng senada

ARTIKEL BERKAITAN: Tajaan lawatan ke Turki lulus sejak 2017

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, lawatan PDRM diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki dibayar syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai bagi tujuan mempelajari teknik membanteras judi dalam talian.

Menurut Guan Eng, walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, perbelanjaannya bukan daripada kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawatan ke Turki bukan kesalahan, jelas menteri

Sebelum itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, beliau tidak mengetahui perincian mengenai lawatan PDRM ke Turki dibayar oleh Da Ma Cai.

Menurutnya, secara prinsipnya lawatan itu tiada sebarang masalah dan tugasnya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas PDRM akan menilai terlebih dahulu permohonan sebelum sebarang kelulusan lawatan ke luar negara diberikan.

Mengulas lanjut, Musa berkata, ketika menjadi Ketua Polis Negara, tidak ada tajaan oleh mana-mana syarikat swasta bagi lawatan luar negara.

"Ini kerana ketika itu kerajaan tidak benarkan kita ambil apa-apa tajaan daripada swasta. Ketua Polis Negara tidak ada kuasa untuk menerima apa-apa tajaan daripada swasta.

"Kalau ada tajaan pun, kena maklum kepada Menteri Dalam Negeri. Jadi, pihak yang nak taja apa-apa kepada polis perlu minta kebenaran terlebih dahulu dengan kementerian, kalau dibenarkan bagi tujuan tertentu, baru polis boleh terima," katanya.

Beliau berkata, polis tidak boleh dipersalahkan dalam hal tersebut kerana ia telah diluluskan oleh kementerian berkaitan.

"Kalau kementerian tak luluskan tapi Mohamad Fuzi buat urusan ini, maka beliau silap. Oleh kerana kelulusan diterima Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan, polis tak boleh dipersalahkan.

"Sebaik-baiknya perkara ini tidak berlaku dan pada pandangan saya, jangan terima tajaan sebegitu," katanya.

Musa berkata, terdapat pegawai polis yang menjalani kursus mengenai pakar judi yang dikendalikan Kementerian Kewangan.

"Ini kerana kita perlu ada pakar judi (bukan untuk main judi) tetapi pegawai yang akan beri keterangan di mahkamah berkaitan perkara itu.

"Selalunya kursus pakar judi dijalankan di Genting Highlands, di mana pegawai terpilih akan mengikuti kursus tersebut. Kalau melibatkan perjudian dalam talian, ketika saya menjadi Ketua Polis Negara, kita panggil pakar dari luar negara ke Malaysia dan tidak hantar pegawai ke luar negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Gua Eng semalam, menegaskan tidak tahu sumbangan dan tajaan lawatan kerja pegawai kanan PDRM yang diberikan Lembaga Totalisator Malaysia (LTM) kerana ia diputuskan oleh Lembaga Pengarah badan itu.

Menurutnya, oleh kerana sebarang keputusan oleh Lembaga Pengarah LTM tidak perlu dirujuk kepada Menteri Kewangan, maka tajaan membiayai lawatan kerja ke Turki itu tidak pernah dimaklumkan atau diluluskan oleh beliau.

Ditanya perkara tersebut, Musa berkata, apa-apa tajaan yang dilesenkan di bawah Kementerian Kewangan, menterinya perlu tahu.