Hanya 12.4 peratus daripada golongan sasar sudah mendaftar

Hajiji Noor (dua, kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) ketika menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Teknikal Pengurusan darurat Covid-19 hari ini. -Foto Bernama
Hajiji Noor (dua, kiri) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) ketika menghadiri Sesi Libat Urus Jawatankuasa Teknikal Pengurusan darurat Covid-19 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Hanya 362,514 individu atau 12.4 peratus daripada 2.9 juta orang yang disasarkan telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Sabah setakat Ahad, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, susulan jumlah yang rendah itu, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan angka tersebut dan semua agensi kerajaan di Sabah diwajibkan memberi penjelasan kepada rakyat bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkan negara daripada belenggu pandemik tersebut.

"Saya juga mendesak semua pihak bekerjasama dan memberi komitmen untuk pastikan (rakyat negeri ini) mendaftar,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat Covid-19 di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, program penerangan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut digerakkan untuk memberi penjelasan kepada penduduk Sabah mengenai manfaat vaksin di seluruh pelosok negeri bagi menyokong usaha memperkukuh imuniti kelompok.

Beliau berkata, aktiviti libat urus di lapangan terutama di pedalaman dan pinggir bandar perlu dipergiat supaya pemahaman mengenai vaksin itu dapat disampaikan secara terus kepada penduduk luar bandar yang berdepan kekangan mengakses maklumat imunisasi melalui media baharu.

“Saya difahamkan bahawa mereka ini ada yang tidak faham, takut, tidak yakin dan tidak kurang juga yang terpengaruh dengan berita palsu di luar sana.

"Jadi, janganlah kita abaikan mereka sebaliknya dekati mereka, beri penjelasan yang mudah difahami dan juga yakinkan mereka dengan testimonial yang kredibel berdasarkan naratif keyakinan vaksin oleh barisan hadapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hajiji berkata sehingga 1 April lepas, sejumlah 67,808 individu di Sabah telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama dan kedua melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. - Bernama