Hubungan Brunei-Malaysia menuju tahap lebih tinggi: Muhyiddin

Muhyiddin pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Brunei hari ini. Foto Bernama
Muhyiddin pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Brunei hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hubungan erat dua hala Malaysia-Brunei menuju ke tahap yang lebih tinggi.

"Saya percaya hubungan mesra dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi," kata perdana menteri pada akhir lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Muhyiddin berkata beliau berpuas hati dengan hasil lawatan itu.

Beliau berkata kebanyakan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini telah dipersetujui bersama.

"Semua perkara yang dibangkitkan telah mencapai sepersetujuan. Tidak ada satu perkara yang dibangkitkan, kami tidak persetujui," kata Muhyiddin kepada wartawan Malaysia di sini pada Isnin.

Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi itu ke negara ini sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam.

Beliau berkata pertemuan empat mata itu berlangsung dalam suasana mesra dan santai.

Kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu dua hala termasuk ekonomi, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pertanian, pertahanan dan teknologi maklumat.

Artikel Berkaitan:

Isu-isu serantau dan antarabangsa turut dibincangkan termasuk perkembangan di Myanmar.

Lawatan rasmi itu di bawah prosedur operasi standard pencegahan Covid-19 yang ketat.

Muhyiddin kemudiannya berlepas ke tanah air.- Bernama