Jajaran Utara tidak rentas Empang Batu, Permatang Kuartza Gombak

Wee Ka Siong pada sidang media mengenai penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kementerian Pengangkutan hari ini. -Foto Bernama
Wee Ka Siong pada sidang media mengenai penjajaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kementerian Pengangkutan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jajaran Utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang kembali ke jajaran asal cadangannya, tidak akan merentasi kawasan Permatang Kuartza Gombak dan Empangan Batu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini kerana Jajaran Utara direka untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, oleh itu Kementerian Pengangkutan akan memastikan projek ECRL tidak akan menjejaskan Permatang Kuartza Gombak yang sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau berkata reka bentuk laluan rel yang dicadangkan untuk bahagian jajaran itu adalah laluan bertingkat yang akan menyusuri jalan sedia ada yang merentasi permatang tersebut.

"Pendek kata, laluan ECRL akan dapat mengelak dari Permatang Kuartza Gombak serta tidak akan menjejaskan zon perlindungannya," katanya dalam sidang akhbar mengenai ECRL di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Jajaran Utara juga tidak akan menceroboh kawasan tadahan air seperti Empangan Batu iaitu antara empangan yang membekalkan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang serta mengelak kawasan berpenduduk padat di daerah Gombak.

Katanya, walaupun terdapat tujuh hutan simpan antaranya Ulu Gombak, Templer, Serendah dan Rantau Panjang yang mungkin dilalui Jajaran Utara, beberapa terowong sepanjang 15.22 kilometer (km) akan dibina untuk mengurangkan penebangan hutan simpan.

Ka Siong berkata, Jajaran Utara dijangka melintasi tiga kawasan tadahan air di antara Mentakab dan Pelabuhan Klang manakala Jajaran Selatan dijangka melintasi sekurang-kurangnya empat kawasan tadahan air.

Artikel Berkaitan:

"Impak sosial Jajaran Utara juga tidak sebesar Jajaran Selatan. Contoh di bawah Akta Pengambilan Tanah, Jajaran Utara dijangka melibatkan 4,302 lot berbanding Jajaran Selatan iaitu 6,038 lot," katanya.

Beliau berkata, semakin kurang jumlah tanah diambil bermakna semakin kurang pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada pemilik tanah kerana kebanyakannya melibatkan tanah dan trek Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Ka Siong berkata, secara amnya, Jajaran Utara mungkin memberi kesan kepada 11 kawasan perumahan di sepanjang 201 km Jajaran Utara berbanding 19 kawasan perumahan di Jajaran Selatan.

"Dari aspek keterlibatan orang asli, ia memihak kepada Jajaran Utara kerana hanya dua kebarangkalian kawasan orang asli mengalami kesan berbanding tujuh kawasan di Jajaran Selatan," katanya.

Beliau berkata, berhubung isu penglibatan Tanah Rizab Melayu pula, Jajaran Utara menjejaskan dua kawasan iaitu di Gombak dan Rantau Panjang manakala Jajaran Selatan akan menjejaskan sekurang-kurangnya tiga kawasan iaitu di Beranang, Jenderam serta Dengkil.

Ditanya sama ada negara mampu menanggung kos pembinaan ECRL ketika ini, Ka Siong berkata, projek itu dibiayai pinjaman mudah daripada China melalui Export-Import Bank of China (EXIM) sebanyak 85 peratus, manakala selebihnya melalui penerbitan sukuk.

"Hanya RM2.5 bilion dibiayai kerajaan dan sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dalam tempoh enam tahun akan datang," katanya. - Bernama