PM Vietnam dilantik jadi Presiden

Xuan Phuc (tengah) mengangkat sumpah jawatan di hadapan anggota Dewan Kebangsaan di Hanoi pada Isnin. - Foto: AFP
Xuan Phuc (tengah) mengangkat sumpah jawatan di hadapan anggota Dewan Kebangsaan di Hanoi pada Isnin. - Foto: AFP
A
A
A

HANOI - Individu di sebalik kejayaan Vietnam menangani pandemik Covid-19 akhirnya diberi kepercayaan untuk memegang tampuk pemerintahan negara itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Nguyen Xuan Phuc pada Isnin mengangkat sumpah sebagai presiden di Hanoi sejurus sesi undian rahsia yang berpihak kepada beliau.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kecekapan pentadbiran bekas perdana menteri itu yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara terbabit sejak lima tahun lalu dan tindak balas segera kerajaan pimpinan Xuan Phuc, 66, terhadap usaha membendung penularan wabak tersebut.

Terdahulu, Majlis Kebangsaan menyatakan ia adalah pertama kali seorang perdana menteri dilantik mengambil alih jawatan presiden.

Xuan Phuc menerusi ucapan selepas majlis angkat sumpah jawatan itu menyatakan beliau berasa amat bertuah dan berbesar hati kerana dilantik memegang jawatan tertinggi tersebut.

Ketika majlis sama, bekas Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Pham Minh Chinh, 62, juga mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu.

“Ia adalah satu tanggungjawab yang besar. Pemerintah akan terus memerangi rasuah dan melindungi integriti serta kedaulatan negara ini,” katanya.

Vietnam diperintah oleh Parti Komunis yang secara rasmi dipimpin oleh Setiausaha Agung, Presiden dan Perdana Menteri dengan 18 anggota politburo diberi kuasa untuk membuat keputusan penting.

Artikel Berkaitan:

Negara tersebut turut menyaksikan peralihan kepimpinan sebanyak dua kali dalam tempoh sedekad selepas Nguyen Phu Trong, 76, dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis.

Pada tahun 2019, terdapat pelbagai spekulasi tentang tahap kesihatan Phu Trong selepas beliau pernah ‘menghilangkan diri’ selama sebulan.

Pakar politik Vietnam di Victoria University of Wellington di New Zealand, Nguyen Khac Giang menyifatkan Xuan Phuc sememangnya layak dilantik sebagai presiden negara itu.

“Kecekapan beliau dalam menguruskan hubungan Vietnam dengan Amerika Syarikat (AS) ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepadanya untuk terlibat sebarang urusan dasar luar,” ujarnya. - AFP