Hakim perbicaraan kes SRC Najib tiada pengalaman: Peguam

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta sebagai 'prosiding bagi abad ini', namun diadili oleh hakim kurang berpengalaman dalam kes-kes jenayah.

Pada hari pertama pendengaran kes itu di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kes seumpama itu sepatutnya diadili oleh hakim yang berpengalaman luas membabitkan prosiding jenayah.

Beliau berkata, ia sama seperti kes-kes berprofil tinggi terdahulu; antaranya kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris pada tahun 1977 dan kes liwat serta penyalahgunaan kuasa pada tahun 1999 membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kedua-dua kes itu mempunyai hakim berpengalaman dan ini perlu kerana Hakim Mohd Nazlan membuat kesilapan dalam kes SRC International.

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai peguam dan bekas timbalan pendakwa raya lebih 40 tahun, kes-kes jenayah yang rumit sering didengar oleh hakim yang berpengalaman,” katanya.

Untuk rekod, pada 8 Ogos 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dari bahagian komersial Baru 1 (NCC), Mohd Nazlan Mohd Ghazali dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3.

Beliau mengambil alih tempat hakim terdahulu, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang pada mulanya ditugaskan untuk mendengar kes SRC International.

Selepas lebih dua tahun iaitu pada 5 April lalu, Mohd Nazlan ditukarkan kembali dari Mahkamah Tinggi Jenayah ke Mahkamah Tinggi Sivil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mahkamah sama pada pagi Isnin dimaklumkan bahawa terdapat salah arah yang serius oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes tersebut.

Ketika prosiding rayuan untuk bekas Perdana Menteri itu, bagi mengetepikan sabitannya terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan melibatkan wang milik SRC, Muhammad Shafee berkata, ia memerlukan campur tangan daripada mahkamah rayuan.

Menurutnya, mahkamah terikat dengan kewajipan untuk melakukan penilaian maksimum terhadap bukti yang ditambahkan dalam kes pendakwaan dan hanya memetik bukti yang dipercayai.

Katanya, penemuan fakta atau kesimpulan dapat dibuat dapat digunakan untuk membentuk pertuduhan secara prima facie.

“Namun, pada keputusan kes di akhir pendakwaan, Mohd Nazlan hanya menggariskan beberapa bukti yang dianggap kredibel bagi mewujudkan elemen pertuduhan prima facie terhadap Najib.

“Jadi, semua bukti yang tidak dinyatakan pada 11 November 2019 dianggap sebagai tidak boleh membentuk subjek yang menentukan kes prima facie,” katanya.

Pendengaran rayuan hari pertama Najib pada Isnin selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April untuk pendengaran rayuan Najib.

Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun Najib, 68, dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta beserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.

Prosiding di hadapan tiga panel hakim iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung Selasa.