Trek basikal di Pantai Rambah

Dr Farid (tengah) melihat kawasan pesisiran Teluk Kerang yang bakal dibangunkan trek basikal.
Dr Farid (tengah) melihat kawasan pesisiran Teluk Kerang yang bakal dibangunkan trek basikal.
A
A
A

PONTIAN - Pantai Rambah dan kawasan pesisir Pantai Teluk Kerang bukan asing bagi masyarakat di daerah ini, namun kewujudannya sebagai sebuah pusat rekreasi tidak seperti kawasan Taman Awam Tepi Laut Pontian.

Namun, mungkin ia lebih popular dalam kalangan kaki pancing selain golongan nelayan yang turut menangkap belangkas di situ.

Perlu diakui keindahan pantai tersebut tidak kurang hebatnya kerana masih diselaputi kehijauan pokok, sekali gus menjadikan ia kawasan cukup menarik untuk dikunjungi terutama aktiviti riadah bersama keluarga serta rakan-rakan.

Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, mengambil inisiatif mewujudkan trek basikal ‘mountain bike’ di sepanjang pesisiran pantai bagi merancakkan aktiviti sukan seterusnya menarik lebih ramai pengunjung.

Katanya, trek sepanjang 30km itu juga dapat menggalakkan amalan hidup sihat dalam kalangan penduduk setempat.

“Pantai Rambah dan kawasan pesisirannya mempunyai satu potensi yang sangat baik untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan.

“Ia mempunyai kemudahan asas sedia ada yang bagus dan keindahan semula jadi yang cukup menarik.

“Cadangan pembinaan trek mountain bike ini diharap menarik pengunjung datang beriadah di Pantai Rambah dan kawasan pesisirannya,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pantai Rambah bersama Ahli Majlis Daerah Pontian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Artikel Berkaitan:

Dr Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kemudahan yang sedia ada di Pantai Rambah juga akan ditambah baik bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

“Sebarang pembangunan yang dicadangkan tidak boleh berlebihan sebaliknya perlu mengekalkan keunikan alam sekitar di sepanjang kawasan pantai ini.

“Cadangan pembangunan yang dikemukakan juga diharap dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan bagi penduduk setempat,” katanya.

Jelasnya lagi pembangunan yang terancang dan berasaskan konsep kelestarian alam sekitar di kawasan di Pantai Rambah akan diguna pakai dan diberikan penekanan khusus bagi memajukan kawasan di seluruh Tanjung Piai.