ATM pertimbang tambah jawatan doktor tentera

Dr Md Amin ketika ditemu bual pemberita selepas Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia 2021 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
Dr Md Amin ketika ditemu bual pemberita selepas Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia 2021 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mempertimbang untuk menambah kuota perjawatan baharu melibatkan doktor ketenteraan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan berkata, perkara itu akan dibincang dengan pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, permohonan bagi menambah kuota perjawatan melibatkan doktor ketenteraan adalah tertakluk kepada prosedur dan fasa yang ditetapkan.

"ATM bercadang menambah kuota berkenaan dan pada masa sama, melihat ke arah pembangunan pasukan simpanan sedia ada yang membabitkan doktor dan paramedik," katanya pada Majlis Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia (MMMC 2021) di Wisma Perwira ATM, di sini pada Isnin.

Dr Md Amin berkata, penambahan itu juga adalah antara usaha ATM mewujudkan gabungan anjal antara pasukan angkatan tetap dan simpanan pada masa akan datang.

"Kami menyasarkan kira-kira 300 perjawatan baharu (dalam perkhidmatan kesihatan ATM) yang memadai dan bertujuan untuk membantu Kementerian Kesihatan.

“Jika khidmat ATM diperlukan maka ia dapat disalurkan untuk membantu mereka (Kementerian Kesihatan) tanpa sebarang batasan," katanya.

Mengulas perkembangan status vaksinasi dalam kalangan warga ATM, Dr Md Amin berkata, lebih 30,000 anggota dan pegawai di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin sejak fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa sama, ATM akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 dalam menjayakan program itu yang akan memasuki fasa kedua bulan ini. - Bernama