Yapeim sasar RM20j hasil perniagaan emas Ar-Rahnu

 Abibullah Samsudin
Abibullah Samsudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM20 juta keuntungan dalam Projek Emas Ar-Rahnunya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai sekiranya setiap masjid di negara ini menerima tawaran untuk melakukan pelaburan dengan Yapeim yang menjadi salah satu teras perniagaan dan kebajikan yayasan tersebut.

Menurutnya, tawaran tersebut sebelum ini telah disuarakan kepada masjid di Wilayah Persekutuan dan berharap ia akan diterima baik seterusnya menjadi pemangkin kepada masjid lain di seluruh negara turut melabur.

“Sebelum ini, saya pernah sebutkan di Masjid Wilayah Persekutuan agar setiap masjid menyumbang duit sumbangan hari Jumaat ke satu dana yang diwujudkan peringkat persekutuan.

“Menurut perkiraan saya, sehingga hujung tahun lalu, terdapat 22,000 masjid dan surau seluruh negara. Oleh itu jika setiap masjid sumbang RM1,000 sebulan untuk projek ini, maka setahun kita (Yapeim) boleh kumpul dalam RM264 juta.

“Untuk permulaan, saya sasarkan Yapeim akan berjaya mengumpul RM20 juta dalam projek emas tahun ini,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Apresiasi Yapeim bersama media, semalam.

Abibullah Samsudin beramah mesra bersama media pada majlis Apresiasi Yapeim Bersama Media.- Foto Sinar Harian:ROSLI TALIB
Abibullah Samsudin beramah mesra bersama media pada majlis Apresiasi Yapeim Bersama Media.- Foto Sinar Harian:ROSLI TALIB

Katanya, projek emas Ar-Rahnu Yapeim melibatkan dua pelaburan iaitu berbentuk jongkong dan bar emas 999 serta barangan kemas 916.

Artikel Berkaitan:

Abibullah berkata, pelaburan tersebut jika berjaya dikumpul boleh digunakan untuk projek pembangunan negara berimpak tinggi sekali gus merancakkan ekonomi umat Islam di negara ini.

”Andai kata kita berjaya mengumpul RM264 juta setahun, kita boleh membina beberapa bangunan sama ada menara, hotel, apartmen atau kondominium sendiri.

“Kita boleh sewa atau jual pula unit tersebut dan keuntungan akan dipulangkan semula kepada masjid. Justeru dengan hanya RM1,000 setiap masjid, ia dapat menjana ekonomi umat Islam yang besar di masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai kelebihan melabur emas bersama Yapeim, Abibullah berkata, Yapeim mempunyai dua kilang sendiri di Bangi, Selangor yang menghasilkan emas.

“Sesiapa sahaja yang ingin membeli emas dengan Yapeim atau menjualnya semua kepada kita, Yapeim akan beri pembiayaan dan jumlah pelaburan akan digunakan untuk ekonomi umat Islam serta keuntungan dipulangkan semula kepada pelabur,” katanya.