Gaji minimum graduan tertakluk kepada perbincangan majikan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penetapan gaji minimum kepada graduan tertakluk kepada perbincangan antara majikan dengan bakal pekerja dan tidak melibatkan pendirian kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, terdapat majikan yang menawarkan kerja secara separuh masa kepada graduan yang masih tidak mendapat tempat dalam industri.

Beliau bagaimanapun menasihatkan graduan menerima sahaja tawaran gaji yang diberikan oleh majikan tersebut daripada terus menganggur kerana industri juga terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita tidak pernah ubah gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan melalui Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265). Hanya Parlimen sahaja yang boleh beri kelonggaran.

“Daripada menganggur, lebih baik sekiranya bekerja dengan mendapat gaji harian dalam tempoh masa tertentu atau secara separuh masa,” katanya ketika sidang akhbar Program Malaysia Prihatin dan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) Zon Tengah (Selangor dan Wilayah Persekutuan) di Geno Hotel di sini pada Isnin.

Pada program itu, Saravanan meluluskan dana geran sebanyak RM1 juta untuk diagihkan kepada kesatuan sekerja ke seluruh negara bagi pembangunan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran kesatuan sekerja.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Saravanan berkata, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Malaysia (JHEKS) hanya meluluskan dana kepada 128 daripada 210 permohonan terawal yang lengkap di seluruh negara.

Menurutnya, sejumlah RM314,500 dana GPKS disampaikan kepada 48 buah kesatuan sekerja di zon tengah.

Artikel Berkaitan:

Saravanan turut berpesan agar dana tersebut digunakan sebaiknya demi pembangunan kesatuan dan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin serta mengambil langkah-langkah terbaik dalam pelan pemulihan negara.