Hanya lima pasukan serahkan dokumen kewangan

Mohd Shazli
Mohd Shazli
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan hanya lima daripada tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji telah menyerahkan dokumen kewangan seperti dituntut pada tarikh akhir hari ini.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menegaskan pasukan-pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji seharusnya lebih serius dalam usaha menangani krisis masalah kewangan bagimengharungi Liga Malaysia 2019.

"Sekretariat MFL akan membuat semakan lebih terperinci sama ada dokumen yang dihantar itu lengkap seperti mana dikehendaki tapi dua lagi pasukan setakat ini belum menyerahkan dokumen tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberi ruang dan masa secukupnya kepada setiap mengumpul segala dokumen dan menyerahkannya hari ini dan beliau percaya semua pasukan sedia maklum dengan peraturan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama lima pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shazli menegaskan sebarang tindakan yang akan diambil terhadap pasukan yang gagal menghantar dokumen kewangan atau menyerahkan dokumen tidak lengkap kepada MFL akan diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

"Amalan MFL sebelum ini, semua sudah sedia maklum impaknya di mana ia mungkin akan memberi kesan kepada geran tahunan yang akan kita berikan kepada setiap pasukan iaitu RM3 juta kepada pasukan unifi LigaSuper dan RM1 juta kepada pasukan Liga Premier.

"Jika perkara ini gagal, salah satu penalti yang akan kita gunakan adalah pemotongan geran dan selebihnya akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam sebelum ini mendedahkan terdapat tujuh pasukan LigaMalaysia yang gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain masing-masing pada musim lepas dan meminta mereka menyerahkan dokumen kewangan pasukan masing-masing selewat-lewatnya hari ini. - Bernama