Gandingan Pasukan Teras Rasuah Busters bawa reformasi moral, integriti

Hussamuddin Yaacub
Hussamuddin Yaacub
A
A
A

SHAH ALAM - Gandingan 15 personaliti dari pelbagai bidang dalam Pasukan Teras Rasuah Busters membawa sebuah reformasi moral dan integriti dengan matlamat perjuangan membanteras pandemik rasuah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kumpulan hasil inisiatif di bawah kempen Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa itu membariskan para pemikir dan penggerak terdiri daripada warganegara Malaysia berbilang kaum, agama dan pelbagai latar belakang.

Beliau berkata, barisan Pasukan Teras Rasuah Busters bertindak dalam penyusunan strategi, pengurusan komunikasi dan gerak kerja serta pembentukan jalinan strategik antara individu dan pelbagai kumpulan dalam kalangan masyarakat.

“Inilah pasukan yang komited dan bersungguh-sungguh menjayakan #RasuahBusters yang akan bersama anda, seluruh rakyat Malaysia menggempur rasuah habis-habisan hingga terbinanya sebuah #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia,” katanya pada sidang akhbar memperkenalkan Pasukan Teras (Core Team) Rasuah Busters di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.

Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, gabungan itu adalah sebahagian daripada sukarela (coalition of the willing) yang bergandingan dalam kepakaran dan kapasiti masing-masing bagi menyelamatkan negara daripada terus terhumban ke lembah kehancuran akibat amalan rasuah yang tidak dibendung.

“Pasukan Teras Rasuah Busters turut menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan impak keberhasilan gerakan #RasuahBusters berupaya mencapai segmen masyarakat di seluruh peringkat ekosistem multietnik dan multibudaya Malaysia.

“Gabungan yang bertindak secara efisien ini diharap dapat melakukan transformasi sistem nilai dalam konteks negara ini secara harmoni berpaksikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sidang akhbar memperkenalkan Pasukan Teras (Core Team) Rasuah Busters di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.
Sidang akhbar memperkenalkan Pasukan Teras (Core Team) Rasuah Busters di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, gerakan Rasuah Busters mengambil pendekatan desentralisasi iaitu Pasukan Pusat Rasuah Busters (PPRB) di peringkat pusat bertindak sebagai pemula.

“PPRB bertindak membentuk kesedaran dan penyediaan material asas, kepakaran, skil dan pengetahuan berkaitan bagi memulakan dan memperkembangkan gerakan #RasuahBusters.

Menurut beliau, #RasuahBusters membantu menyusun asas sikap serta tingkah laku yang diperlukan bagi mewujudkan budaya positif untuk mengelakkan pengambilan dan pemberian rasuah.

“Kita juga berusaha dalam bentuk kerangka yang lebih besar untuk membantu negara melalui proses dan struktur penting yang mendatangkan impak jangka masa panjang,” ujar beliau.