Covid-19: 1,070 kes baharu

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 1,070 kes harian positif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhannya ialah sebanyak 352,029 kes.

"Daripada jumlah kes baharu itu, sembilan melibatkan kes import dan 1,061 penularan dalam negara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, terdapat sebanyak 14,278 kes aktif dilaporkan di seluruh negara.

"Sebanyak 180 kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 89 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, KKM turut menerima laporan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19.

"Empat kes dilaporkan di hospital di Selangor, dua di Sabah dan satu di Johor," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kesemua kes kematian melibatkan warga tempatan berumur 49 hingga 86 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit kronik.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan kes kematian adalah 1,295," katanya.

Tambah beliau, terdapat sebanyak 1,294 kes pulih dilaporkan pada Isnin.

"Jumlah kumulatif kes pulih ialah sebanyak 336,456 kes bersamaan 95.6 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, daripada 1,061 kes, sebanyak 904 kes melibatkan rakyat tempatan dan 157 warga asing.

Katanya, Selangor kekal negeri tertinggi kes positif Covid-19 dilaporkan iaitu sebanyak 327 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 248 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, Sarawak melaporkan sebanyak 225 kes, selain Pulau Pinang (133), Kuala Lumpur (88), Sabah (65), Johor (55), Pahang (37) dan Kedah (34).

Katanya, negeri lain ialah Kelantan dengan 31 kes, selain Melaka (25), Labuan (17), Putrajaya (lapan), Perak (lapan), Terengganu (tiga) dan Perlis (dua).

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kluster baharu dikenal pasti melibatkan lima kluster tempat kerja dan satu komuniti.

"Kluster tempat kerja adalah Lorong Dua dan Taman Komersial di Selangor; Jalan Inovasi membabitkan Kuala Lumpur dan Putrajaya; Jalan Mata Kuching di Melaka dan Persiaran Utama, Negeri Sembilan.

"Kluster komuniti, Bukit Sera pula dikesan di Kedah," katanya.

Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 1,411 kluster direkodkan dan 1,056 kluster telah tamat.

"Jumlah kluster aktif ialah 355 kluster, manakala bilangan kluster yang merekodkan pertambahan adalah 48 kluster," kata beliau.