X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia-Brunei dalam usaha jalin diplomasi vaksin

Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama Sultan Hassanal Bolkiah bagi mesyuarat empat mata di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan. -Foto Bernama
A
A

BANDAR SERI BEGAWAN - Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan dalam usaha mengadakan diplomasi vaksin bagi menangani cabaran semasa bersama pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam kenyataan bersama di akhir Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam memaklumkan, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pengaturan vaksinasi timbal balik bagi kedua-dua warga negara yang meliputi diplomat, pelajar dan ekspatriat.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk memastikan akses kepada bekalan vaksin bagi kedua-dua negara serta pengiktirafan bersama timbal balas sijil vaksinasi antara Malaysia dan Brunei kerana ini akan memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua negara.

Rundingan Pemimpin Tahunan itu berlangsung di Istana Nurul Iman, di sini pada Isnin.

Hari ini merupakan hari terakhir Muhyiddin dalam lawatan rasmi dua hari ke negara ini sempena rundingan tahunan itu.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah yang juga Perdana Menteri Brunei, bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan Aturan Laluan Hijau Timbal Balas (RGL), dengan langkah pencegahan dan kawalan Covid-19 yang berkesan, untuk memudahkan perjalanan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah juga menekankan mengenai pentingnya untuk mencergaskan kembali dan melindungi kestabilan sosioekonomi kedua-dua negara dan masyarakat.

Mengenai hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin itu juga mengulangi komitmen mereka untuk memelihara hubungan istimewa ini dengan memperluas dan memperkukuh kolaboratif dalam pelbagai bidang yang saling menguntungkan.

Kedua-dua pemimpin itu menzahirkan penghargaan berhubung kerjasama antara kedua-dua kerajaan terutama dalam mengatur penghantaran balik warganegara masing-masing yang terkandas di kedua-dua negara serta negara lain semasa pandemik tersebut.

"Ini membuktikan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara dan rakyat mereka," kata kedua-dua pemimpin itu.

Kedua-dua pemimpin itu juga berhasrat untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi termasuk dalam bidang pertanian, perikanan, pendidikan serta hubungan, perdagangan dan pelancongan.

Muhyiddin dan Sultan Hassanal Bolkiah juga menyentuh mengenai hubungan pertahanan yang erat serta belia dan sukan selain meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam sektor pengangkutan.

"Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk melaksanakan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi termasuk multimedia dan keselamatan siber," menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin itu menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Info-Media-Komunikasi.

Mengenai MoU antara kedua-dua kerajaan berkaitan kerjasama dalam pengurusan bencana yang ditandatangani pada akhir rundingan, kedua-dua pemimpin itu menyatakan usaha itu akan memperkukuhkan hubungan dalam bidang tersebut.

Ini terutamanya melalui latihan, latihan bersama, operasi dan pertukaran kepakaran dan maklumat yang berkaitan dengan pencegahan bencana dan pengurangan risiko.

Perjanjian Penyatuan antara Petronas dengan Sekretariat Penyatuan Nasional Brunei (BNUS) yang ditandatangani pada Isnin juga, akan memberikan momentum positif kepada kerjasama minyak dan gas antara kedua-dua negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!