Tembok batu pusat ketenteraan lama?

Tembok yang tersedia wujud di Bukit Ranting, Duyong.
Tembok yang tersedia wujud di Bukit Ranting, Duyong.
A
A
A

MELAKA - "Kampung Duyong ketika era Kesultanan Melayu Melaka lebih berperanan sebagai tempat latihan ketenteraan," kata Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyung (Pesawad), Khalid Hussin.

Malah dakwanya, sebahagian lokasi di kampung berkenaan juga mampu melihat hampir keseluruhan pemandangan kota Melaka dan pernah berperanan sebagai tempat meninjau kedudukan kapal musuh di Selat Melaka terutama ketika diserang Portugis pada 1511.

Kenyataan tersebut diperkuatkan lagi menerusi catatan keluarganya secara turun temurun yang diwariskan oleh nenek moyang terdahulu hinggalah sampai ke generasi kini.

Menurut catatan tersebut, Kampung Duyong dibuka oleh ibu bapa Hang Tuah, iaitu Hang Mahmud dan Dang Merduwati yang datang dari Palembang pada 1440.

"Antara yang dicatatkan, setelah tinggal di Pulau Besar selama 40 hari bersama saudara-mara, kemudian mereka berpindah di satu kawasan balik bukit bergelar Duyong dan di sinilah mereka mendirikan rumah, bercucuk tanam sementara sebahagian saudara mara mendiami kawasan di Bukit Katil dan Semabok.

"Ketika Melaka diancam Portugis, pahlawan-pahlawan dari Kampung Duyong banyak memainkan peranan besar mempertahankan negeri ini dan sebuah bukit yang kini menjadi tempat letaknya tangki dan kolam air Duyong adalah lokasi pertahanan penduduk kampung ketika berperang dengan Portugis," katanya.

Khalid Hussin
Khalid Hussin

Beliau mengulas mengenai kewujudan tembok mirip kubu yang diperbuat daripada batu laterit di lereng Bukit Ranting di Duyong yang didakwa turut mempunyai kaitan dengan sejarah kampung itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tembok tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kubu yang dibina penduduk Kampung Duyong sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi kerana ia adalah lokasi berkedudukan tinggi yang strategik untuk mengawal perairan Selat Melaka dan meninjau keseluruhan Kota Melaka.

"Dari segi rupa bentuk dan susunan adalah batu laterit, cuma kita tidak dapat pastikan adakah binaan ini dibuat ketika zaman penjajahan atau sebaliknya.

"Apa yang pasti menurut catatan keluarga kami, bukit tersebut dijadikan lokasi peninjau untuk memerhatikan Selat Melaka serta kedudukan kapal musuh," katanya yang mengharapkan satu kajian lebih mendalam dilakukan terhadap kesan-kesan sejarah ini.