Dua penyamun ditahan

No Image Caption
A
A
A

KULIM - Polis berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun sekitar daerah ini selepas dua penganggur ditahan dalam serbuan di Kulim pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, ketua kumpulan yang dikenali sebagai Arvind, 27, mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan samun dan dadah manakala seorang lagi suspek berusia 26 tahun mempunyai rekod kes samun, pecah rumah, curi dan dadah.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah bergerak secara berdua dengan menunggang motosikal pelbagai jenis yang disyaki dicuri untuk melakukan jenayah ragut dan samun di sekitar Kulim.

"Suspek akan memerhati lokasi sibuk seperti kawasan pasar pagi dan pasar raya serta menyasarkan wanita yang berjalan seorang diri sambil memegang beg tangan sebelum menyamun mangsa," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pada Isnin.

Menurutnya, suspek juga memakai topi keledar bervisor penuh bersama pelitup muka bagi mengelakkan diri daripada dikenali.

Beberapa hari lalu tular di media sosial seorang wanita terjatuh ketika disamun suspek.

"Dalam serbuan yang dijalankan, polis turut merampas sebuah motosikal serta serangkai kunci dan topi keledar yang digunakan oleh suspek ketika menyamun.

"Kita mengesyaki kumpulan ini menggunakan hasil daripada aktiviti jenayah samun untuk membeli bekalan dadah jenis syabu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ketika samun berkawan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 April bagi membantu siasatan.

"Saya menggesa orang awam terus menyalurkan maklumat mengenai kegiatan samun serta lain-lain perlakuan jenayah.

"Saya juga meminta masyarakat lebih peka dengan keadaan persekitaran rumah dan jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada penjenayah," katanya.