Pemimpin UMNO, Zahid perlu 'berkorban' demi parti

Ahmad Zahid. Gambar kecil: Dr Jeniri dan Zakaria
Ahmad Zahid. Gambar kecil: Dr Jeniri dan Zakaria
A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk pimpinan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu 'berkorban' untuk mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan utama parti demi memastikan kelangsungan parti itu terus relevan dalam landskap politik tanah air.

Ketua UMNO bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah berkata, jika UMNO mahu benar-benar berubah, maka jalan terbaik ialah melalui pembaikan politik membersih dan membuang imej parti feudal 'warlord' dalam parti.

Jelas beliau, kepimpinan UMNO sedia ada dilihat sebagai satu kepimpinan yang mempunyai liabiliti dan imej negatif kepada kelangsungan UMNO bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Sebagai pemimpin parti termasuk Presiden, sepatutnya mereka (pucuk kepimpinan parti) tahu ketika mana pengorbanan perlu dilakukan, lebih-lebih lagi dalam menentukan masa depan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

"Berundur setapak bukan bermakna kita akan hilang segalanya...Berundur setapak sebenarnya bagi mendapat nikmat yang jauh lebih baik di depan sana," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika mahu menteri dalam parti itu meletak jawatan atas dasar kepentingan bersama.

ARTIKEL BERKAITAN Zahid terus digesa berundur, beri peluang muka baharu

Sentimen itu turut disokong Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dalam satu kenyataan yang menyarankan pemimpin UMNO yang berdepan pertuduhan mahkamah harus berehat daripada parti atau meletak jawatan kerana mereka meninggalkan tanggapan buruk dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir turut sependapat dengan Zakaria dan menganggap Ahmad Zahid akan dilihat lebih mengutamakan kepentingan peribadi sekiranya beliau mahu terus mempertahankan jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Ahmad Zahid seharusnya memberi laluan kepada pemimpin UMNO yang dilihat lebih layak iaitu Timbalannya sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memulihkan kembali imej dan reputasi UMNO yang kini tercalar teruk.

"Saya yakin Tok Mat (Mohamad Hasan) lebih berupaya, bersih dan berwibawa untuk mengemudi parti pada PRU15 sekali gus membantu UMNO kembali bangkit.

"Bagi saya, sebagai seorang pemimpin yang sudah berpengalaman dalam mengikuti jatuh bangun UMNO, Ahmad Zahid diyakini akan memahami keperluan UMNO diberi peluang bernafas bermula.

"Kalau UMNO itu dapat bertahan dan muncul kembali nanti, maka kedudukan beliau mungkin akan diselamatkan UMNO di kemudian hari," katanya.