Suntikan vaksin bukan punca kematian guru: Polis

Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON- Polis menafikan kematian seorang guru wanita berusia 54 tahun di Teluk Kemang, di sini disebabkan komplikasi selepas suntikan vaksin Covid-19 seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, berita kematian guru itu tular sejak Jumaat yang mendakwa dia meninggal dunia disebabkan suntikan vaksin dos pertama yang diambil pada 30 Mac lalu dan perkara itu tidak benar selain kematiannya adalah disebabkan faktor lain.

"Siasatan awal pihak hospital mendapati guru berkenaan mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun yang lalu.

"Guru berkenaan mengalami sawan semasa berada di rumah dan dikejarkan ke hospital pada Khamis lepas ( 1 April) lalu kira-kira jam 10.30 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Aidi Sham berkata, guru itu kemudiannya menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Port Dickson pada Jumaat lalu.

"Pihak polis dengan ini menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang penyebaran berita yang tidak benar atau sebarang kenyataan media sosial yang boleh mengelirukan awam.

"Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM 50,000 atau penjara tidak lebih (1) tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: