Lelaki pecah barang masjid dakwa dengar suara halus

Seorang lelaki mendakwa dirinya mengalami halusinasi sehingga bertindak memecahkan barangan masjid di SS15/2E, di sini, pada Khamis lalu. - Foto FB Masjid Darul Ehsan
Seorang lelaki mendakwa dirinya mengalami halusinasi sehingga bertindak memecahkan barangan masjid di SS15/2E, di sini, pada Khamis lalu. - Foto FB Masjid Darul Ehsan
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki mendakwa dirinya mengalami halusinasi sehingga bertindak memecahkan barangan masjid di SS15/2E, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu disedari pegawai tadbir masjid berkenaan selepas melihat lelaki tidak dikenali memasuki pintu belakang masjid.

"Lelaki itu kemudian mengamuk sebelum memecahkan cermin tandas dan cermin tingkap masjid.

"Bagaimanapun, lelaki itu ditahan sepasukan anggota unit peronda MPV polis selepas menerima panggilan daripada pegawai masjid," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan bernilai RM5,000.

Menurutnya, suspek berusia lingkungan 30-an itu mempunyai satu rekod jenayah dan dua kes dadah.

"Soal siasat suspek mendakwa mengalami halusinasi dan mendengar suara halus menyebabkannya bertindak sedemikian.

"Suspek direman empat hari sehingga Isnin dan akan dimohon untuk tempoh terbabit disambung bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: