Bimbang tanah pusaka, rumah ‘ditelan’ ombak

Kediaman Zakaria di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit di Kuala Nerus hanya menunggu masa hilang ditelan ombak kuat. Gambar kecil: Zakaria
Kediaman Zakaria di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit di Kuala Nerus hanya menunggu masa hilang ditelan ombak kuat. Gambar kecil: Zakaria
A
A
A

KUALA NERUS - Penduduk di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit di sini meluahkan rasa bimbang tanah dan rumah pusaka yang dihuni mereka sejak 50 tahun lalu musnah ditelan ombak.

Zakaria Abu Bakar, 51, berkata, ia berikutan perubahan drastik yang berlaku terhadap garisan pantai di kawasan itu akibat hakisan yang melanda sejak Disember tahun lalu.

“Musim tengkujuh akhir tahun lalu meninggalkan kesan ketara terhadap kawasan ini di mana tanah pusaka bahagian adik saya seluas 304.8 meter hilang sepenuhnya menjadi laut.

“Setakat ini, tanah yang masih berbaki seluas 873 meter dari tanah asal 4,046 meter (satu ekar) termasuk di kawasan rumah yang saya diami ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Zakaria yang tinggal di kediaman itu bersama isteri, Rosshuriati Ismail, 44, dan empat lagi anaknya menjangkakan kawasan kediamannya hanya mampu bertahan hingga hujung tahun ini sahaja dan akan lenyap ditelan ombak sekiranya tiada sebarang tindakan dibuat.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik kini tidak bekerja selepas diserang strok sejak lima tahun lalu, manakala isterinya mengambil upah membuat kuih.

“Saya kini tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima setiap bulan. Pendapatan isteri juga tidak menentu,” katanya.

Menurut Zakaria, dia berhasrat untuk menjual tanahnya pada harga RM150,000, namun agak sukar kerana lokasi tanahnya berada di zon merah.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan tanah ini berada di zon merah sebab itu sukar untuk dijual. Saya sendiri pun buntu, sekiranya tanah ini tidak dijual, lambat laun kediaman saya juga akan lenyap dan ketika itu saya mahu tinggal di mana?

“Tambahan pula, saya difahamkan tiada sebarang peruntukan atau bantuan tanah ketika ini disediakan bagi orang yang menerima nasib seperti saya,” katanya.

Zakaria berkata, dia berharap agar ada pihak sudi tampil membantunya untuk keluar daripada masalah itu.

“Saya sebolehnya mahukan ihsan kerajaan negeri untuk bantu saya yang bakal kehilangan tempat tinggal,” katanya.